Saturday, October 6, 2007

Kelantan rayakan Aidilfitri bersama semua kaum

Kota Bharu, 6 Oktober - Rakyat Kelantan akan merayakan Aidilfitri sebagaimana lazimnya dengan meraikan seluruh masyarakat termasuk kaum-kaum bukan beragama Islam di negeri ini.

Anggota Exco kerajaan negeri, Dato' Haji Takiyuddin Hassan berkata keharmonian yang wujud membuktikan pentadiran Islam adalah bermanfaat untuk seluruh rakyat dan bukan hanya untuk kepentingan orang-orang beragama Islam semata-mata.

"Suasana hormoni antara kaum di Kelantan kadangkala mengejutkan orang luar yang datang ke sini apabila mendapati dalam satu kedai makan, peniaga berbangsa Melayu dan Cina dapat berkongsi," kata beliau ketika berucap di majlis penyampaian bantuan hari raya untuk golongan miskin di JKR 10 hari ini.

Kelantan yang ditadbir secara Islam kata beliau selalu digambarkan dengan buruk oleh pelbagai pihak dengan anggapan masyarakat bukan Islam hidup tertindas dan berlaku diskriminasi bersifat perkauman.

"Musim perayaaan ini kita dapat saksikan bagaimana kunjung mengunjung berlaku dengan bebas di mana rumah terbuka Aidilfitri akan dikunjungi pelbagai kaum dan diraikan dengan mesra oleh masyarakat Islam," kata beliau.

Pada majlis penyampaian itu lebih 200 golongan memerlukan menerima sumbangan Aidilfitri sumbangan kerajaan negeri dan para penderma.

Thursday, October 4, 2007

Sikap tidak kisah soal mengundi berbahaya - Takiyuddin

Kota Bharu, 4 Oktober - Sikap segolongan umat Islam yang tidak ambil kisah untuk mendaftar sebagai pengundi adalah berbahaya kerana pemimpin yang dipilih melalui pilihanraya akan menjadi penentu keadaan baik atau buruk di sesebuah negeri atau negara.

Bagi negeri yang mendapat pemimpin yang bertaqwa hasil pilihan rakyat melalui pilihanraya, masyarakat akan mendapat rahmat dan kebahagiaan kerana segala bentuk maksiat dan aktiviti perosak akan disekat kata ahli Exco kerajaan negeri, Dato' Haji Takyuddin Hassan.

"Di Kelantan, hasil keputusan rakyat melalui pilihanraya untuk meletakkan ulamak sebagai pemimpin membolehkan kita melihat kebaikan yang banyak dapat dinikmati samada dari segi penghayatan Islam mahupun penghindaran gejala negatif," kata beliau ketika berucap di majlis tadarus yang diadakan di pusat pengajian tahfiz Muaz Bin Jabal di Pintu Geng di sini Khamis lalu.

Dengan mengambil contoh program tadarus yang dianjur kerajaan negeri beliau berkata rakyat negeri ini amat bertuah kerana kerajaan sendiri mengambil inisiatif untuk menjadi penganjur program-program pembangunan modal insan yang selari dengan sunah Rasul SAW.

"Dengan penganjuran oleh pihak kerajaan sendiri, program-program yang amat bermanfaat seperti ini boleh diadakan secara besar-besaran dan dapat disertai oleh seluruh lapisan masyarakat," ujar beliau.

Menurut beliau keadaan seperti ini tidak akan berlaku di negeri yang pemimpin mereka tidak meletakkan Islam sebagai landasan perjuangan mereka.

"Ada negeri tertentu yang program-program agama terpaksa dibuat secara kecil-kecilan malah aktiviti tertentu seperti mengadakan tazkirah dilarang oleh pemimpin tertinggi kerajaan," katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan orang ramai bahawa suasana Islam di bandar-bandar di Kelantan yang tidak ada premis judi, minuman keras berleluasa dan pusat-pusat hiburan maksiat hanya akan kekal jika pengundi terus memberi sokongan kepada pemimpin yang menjadikan Islam sebagai pegangan politik.

"Jika kita membenarkan pemimpin yang tidak hirau soal Islam mentadbir sudah tentu suasana yang memudaratkan aqidah umat akan menular di tempat kita," tambahnya.

Wednesday, October 3, 2007

Jadikan Ramadan penggerak pembaharuan

Oleh Mohamed Zainal Abidin Hussin

Kota Bharu, 3 Oktober - Umat Islam harus menjadikan Ramadan sebagai penggerak kepada pembaharuan dalam membentuk masyarakat dan negara yang lebih bermanfaat dan membahagiakan.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato' Haji Takiyuddin Hassan berkata amalan-amalan yang dilakukan sepanjang bulan mulia itu harus menjadi pemangkin dalam melahirkan suasana lebih harmoni dan bertanggungjawab di kalangan masyarakat.

"Kita selalu mengulang-ulang ayat yang menyatakan tujuan manusia disuruh melaksanakan ibadah puasa iaitu meningkatkan ketaqwaan yang membawa maksud umat Islam harus memperbaiki diri dari semasa ke semasa," kata beliau di majlis iftar jamaie anjuran masjid Muhsinin, Kampung Puteh, Jalan Kuala Krai dekat sini Rabu lalu.

Sepanjang Ramadan katanya, umat Islam melakukan pelbagai amalan seperti membaca al-Quran, qiamullail, bersedeqah, menyediakan jamuan berbuka puasa dan pelbagai lagi yang bertujuan membina sakhsiyah diri yang lebih cemerlang.

"Semua ini mesti dijadikan landasan untuk membolehkan kita melakukan perubahan ke arah suasana lebih bertaqwa seperti yang dikehendaki Allah SWT dan diimpikan oleh seluruh manusia," tambahnya.

Perkataan taqwa menurut beliau bukanlah satu konsep yang tersimpan dalam hati tanpa apa-apa kesan terhadap kehidupan harian.

"Dengan bekal taqwa yang dihasilkan daripada tarbiyah Ramadan umat Islam perlu lebih berupaya untuk menolak segala bentuk penyelewengan dan gejala buruk yang berlaku dalam segala bidang," ujar beliau.

Suara umat Islam yang berlandaskan hasil kejayaan melepasi madrasah Ramadan menurut beliau harus mampu memperbetulkan kepincangan dalam bidang politik, ekonomi dan sosial yang semakin serius kebelakangan ini.

Pada majlis berbuka puasa itu Dato' Takiyuddin turut menyampaikan bantuan khas kepada masjid berkenaan untuk menyiapkan kerja-kerja pengubahsuaian bagi keselesaan ahli jamaah.

Sunday, September 30, 2007

Presiden PBMK anjur majlis berbuka

Oleh Ahmad Fazrul
Kota Bharu, 27 September
- Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Kelantan, Dato' Haji Takiyuddin Hassan menganjurkan majlis berbuka puasa khas di sebuah Hotel terkemuka di Kota Bharu Bandar Raya Islam hari ini.

Jemputan terdiri pemain dan ahli persatuan, ahli persatuan penunggang motosikal berkuasa tinggi (Red Riders) dan para wartawan.

Ketika berucap di majlis itu beliau menyeru para pemain yang berjaya ke peringkat akhir piala emas raja-raja tidak patah semangat walaupun tidak berjaya merangkul juara pada perlawanan di Johor baru-baru ini.

"Keupayaan kita untuk terus menyertai perlawanan akhir menunjukkan keupayaan kita tidak dapat diperkecilkan," kata beliau memberi dorongan.