Monday, July 28, 2008

DIGI akui pasaran di Kelantan terbaik di Pantai Timur

Mohd Nor Yahya
Mon | Jul 28, 08 | 7:04:29 pm MYT


KOTA BHARU, 28 Julai (Hrkh) - Kerajaan negeri sentiasa memberi kerjasama kepada mana-mana syarikat bagi menganjurkan program mereka di sini, dalam usaha menarik lebih ramai pelancong datang ke negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kerjasama diberi terutamanya dalam menjayakan program Tahun Melawat Kelantan 2008.

"Kerajaan negeri sentiasa memberi kerjasama kepada mana-mana badan korporat bagi menjayakan program mereka di sini bersesuaian dengan konsep menang-menang.

"Melalui jalinan itu kerajaan dapat menjimatkan perbelanjaan, manakala syarikat pula dapat memasarkan produk mereka di negeri ini," katanya pada majlis pelancaran Pek� Edisi Kota Bharu DIGI Telecomunication Sdn Bhd di KB Mall, kelmarin.

Majlis tersebut disempurnakan anakda Sultan Kelantan, Tengku Amalin A'Ishah Putri.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam, Haji Shafie Ismail.

Takiyuddin juga merakamkan ucapan terima kasih kepada DIGI kerana sudi menjadi penaja beberapa program yang akan dianjurkan kerajaan negeri.

Antaranya program Ihya Ramadhan pada September depan dan Oktober pula akan diadakan pesta air di Sungai Kelantan. DIGI juga akan mengadakan program Qurban Perdana pada Hari Raya Haji akhir tahun ini.

Sementara itu, Pengarah Hal Ehwal Korporat DIGI, Tunku Alizakri Alias berkata, pek edisi Kota Bharu pertama kali dilancarkan bersesuaian dengan kuasa beli�di Kelantan yang terbaik di Pantai Timur.

Thursday, July 3, 2008

Peniaga pasar borong Wakaf Che Yeh semakin terbela

Ramli Yamat
Wed | Jul 02, 08 | 8:33:27 pm MYT

KOTA BHARU, 2 Julai (Hrkh) � Nasib peniaga pasar borong yang pada awalnya dipindahkan dari Jalan Hamzah ke Wakaf Che Yeh kini semakin terbela, biar pun mereka pernah membantah langkah dibuat kerajaan negeri.

Biar pun beberapa siri demontrasi diadakan membantah hasrat kerajaan negeri namun hari ini mereka memiliki tapak perniagaan yang jauh lebih selesa.

Sebelum dapat berniaga di ruang yang selesa sekarang mereka sudah tiga kali berpindah. Di sebalik susah payah itu akhirnya peniaga terbabit sekarang mampu senyum memanjang.

ImageMulai semalam, 750 peniaga Pasar Wakaf Che Yeh berpindah dari tapak pasar sementara ke bangunan pasar baru yang lebih moden dan selesa. Lokasi baru itu terletak lebih kurang 300 meter daripada tapak pasar borong sementara.

Bermula pagi semalam seramai 250 peniaga pasar pagi, 350 peniaga pasar malam, 50 peniaga pasar borong dan 100 peniaga pasar tani berpindah ke lokasi baru tersebut.

Perpindahan 250 peniaga pasar pagi semalam turut disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan dan pegawai kanan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI).

Pembinaan Pasar Awam Bersepadu Wakaf Che Yeh melibatkan kos sebanyak RM27 juta. Keluasannya 6,166 meter persegi dibina Sensatimur Sdn Bhd dengan kerjasama MPKB BRI.

Pengarah Perhubungan Awam MPKB-BRI, Azman Mohd Daham berkata, perpindahan sepenuhnya peniaga ke tapak baru berkuatkuasa sehingga 6 Julai ini.

Katanya, orang ramai yang datang untuk membeli-belah di pasar baru berkenaan akan merasa lebih selesa berbanding pasar lama.

�Sebanyak 350 ruang niaga disediakan dalam bentuk gerai pasar pagi yang memulakan perniagaan dari jam 7 pagi hingga 1 tengahari.

�Sehingga kini masih terdapat 100 petak yang belum disewa. Manakala 700 petak lagi disediakan untuk peniaga pasar malam. Dan sehingga sekarang 350 peniaga menyewanya di mana waktu perniaga bermula jam 6 petang hingga 1 pagi,� katanya di sini.

Selain itu Azman berkata, kesemua 50 petak pasar borong yang disediakan habis disewa peniaga, di mana waktu perniagaan ditetapkan bermula jam 1 pagi hingga 7 pagi.

Selain itu pasar baru terbabit juga menyediakan tempat kepada peniaga pasar tani yang menjalankan perniagaan setiap pagi Jumaat.

Tuesday, July 1, 2008

Peniaga Pasar Bersepadu Wakaf Che Yeh diberi subsidi 50 peratus

Salmah Mat Husain
Mon | Jun 30, 08 | 7:35:54 pm MYT

KOTA BHARU, 30 Jun (Hrkh) � Rungutan peniaga mengenai kadar bayaran menduduki Pasar Bersepadu Wakaf Che Yeh agak mahal akhirnya terelai apabila kerajaan negeri memberi subsidi sehingga 50 peratus.

Ini jelas menggambarkan keprihatinan kerajaan Kelantan terhadap rungutan peniaga yang mana sebelum ini mereka menganggap kadar bayaran yang dikenakan pihak pemaju mahal.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan negeri memberi potongan antara 30 hingga 50 peratus kepada peniaga terbabit.

�Ekoran itu subsidi diberi kepada 855 peniaga yang akan menduduki tapak baru perniagaan yang jauh lebih selesa mulai esok. Bagi tujuan itu kerajaan negeri menanggung kos sebanyak RM1.2juta untuk dibayar kepada pemaju,� katanya di sini.

Beliau diminta mengulas berhubung bantahan peniaga di Pasar Borong Wakaf Che Yeh yang dikenakan bayaran sebanyak RM2,000 sehingga RM2,500 sebagai bayaran menyediakan pelbagai kemudahan termasuk payung besar.

Takiyuddin yang juga Adun Bunut Payong berkata, bagi peniaga yang dikenakan bayaran RM2,500 subsidi sebanyak 30 peratus diberi, di mana mereka mengusahakan perniagaan gerai makanan, runcit dan pakaian.

Katanya, bayaran yang dikenakan hanya sekali sahaja iaitu bagi menampung perbelanjaan menyediakan peralatan oleh pihak pemaju.

�Di sini saya nak jelaskan, tiada bayaran kali kedua kepada peniaga yang berniaga di situ, cukup hanya sekali bayaran sahaja kerana kerajaan negeri memberi subsidi. Jadi peniaga tidak perlu risau,� ujarnya.

Beliau juga berkata, peraturan lebih kemas dikenakan bagi memastikan tempat perniagaan baru itu kelihatan cantik, bersih dan menarik memandangkan ia menjadi tumpuan pelancong.

Sebelum ini peniaga di Pasar Borong Wakaf Che Yeh berniaga di tapak sementara yang kurang selesa tidak jauh dari Pasar Bersepadu yang baru siap dibina.

Baru-baru ini peniaga terlibat mengadakan demontrasi aman sebagai membantah kadar bayaran yang dikenakan pemaju agak mahal. Ekoran itu kerajaan negeri terpaksa campur tangan.

Friday, June 6, 2008

Kelantan cadang bina Balai Seni Lukis

Salmah Mat Husain
Thu | Jun 05, 08 | 8:03:41 pm MYT

KOTA BHARU, 5 Jun (Hrkh) - Kerajaan negeri akan memarbatkan karya seni lukis setanding dengan kesenian lain bagi memastikan ia tidak pupus begitu sahaja.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, golongan pelukis perlu diberi perhatian dan tidak membiarkan mereka terpinggir.

Berucap merasmikan Pameran Seni Lukis Kelantan 2008, di Muzium Negeri, di sini hari ini katanya, bagi menjayakan hasrat itu, kerajaan negeri bercadang menyediakan Balai Seni Lukis bersebelahan dengan Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) tidak lama lagi.

Image�Dengan adanya bangunan seperti itu membolehkan pelukis melukis atau menyediakan lukisan untuk dipamerkan kepada pelancong sama ada tempatan atau luar negara. Di situ juga boleh dijadikan tempat mengajar anak-anak muda melukis,� ujarnya.

Menurutnya golongan pelukis disifatkan begitu istimewa dan sukar dicari memandangkan anugerah berkenaan hanya dikurniakan Allah kepada segelintir hamba-Nya sahaja.

Kata beliau melalui usaha tersebut diharap dapat membantu memperkayakan khazanah negeri, sama ada berbentuk artifak, permainan tradisional dan kehidupan masyarakat Kelantan melalui lukisan.

�Kita ingin menjadikan pelukis Kelantan mempunyai identitinya yang tersendiri sehingga dikagumi semua pihak,� katanya lagi.

Pameran itu berlangsung selama sebulan bermula hari ini. Sebanyak 100 lukisan pelbagai tema yang diilhamkan 50 pelukis tempatan dan jemputan dipamerkan.

Program berkenaan turut mendapat kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Persatuan Seni lukis Kelantan (Peseni).

Bercakap kepada media selepas itu beliau berharap kenaikan harga minyak yang begitu tinggi mulai hari ini tidak membantut kedatangan pelancong ke Kelantan. - mj

Monday, June 2, 2008

Ibadat jadi tarikan pelancong

KOTA BHARU 2 Jun - Dalam usaha mencari kelainan sempena Tahun Melawat Kelantan 2008, kerajaan Pas akan menjadikan September ini sebagai Bulan Ibadat untuk menarik pelancong.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, bulan puasa boleh menjadi salah satu tarikan bagi pelancong untuk merasai suasana beribadat di negeri ini.

Katanya, selain merasai suasana sembahyang terawih di kawasan terbuka, pelancong juga boleh merasai pengalaman solat dan berbuka puasa di beberapa masjid terkenal.

''Ini termasuklah di masjid di Pulau Melaka berhampiran kediaman Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,'' katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Speaker's Corner di KB Mall di sini hari ini.

Menurut Takiyuddin, satu program yang terancang akan dirangka dengan kerjasama pelabagi pihak termasuk pihak hotel dan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) bagi memudahkan pelancong.

''Mereka boleh mengatur persiapan termasuk pakej untuk ibadat dan lawatan-lawatan ke tempat yang mempunyai kaitan dengan agama supaya pelancong yang datang tidak merasai kesulitan untuk ke sesuatu tempat," ujar beliau.

Sementara itu, berucap pada majlis tersebut beliau berkata, program Speaker's Corner yang akan diadakan setiap hujung minggu di beberapa destinasi tumpuan juga menambahkan lagi keunikan Kelantan.

''Pendekatan sedemikian yang membolehkan rakyat meluahkan emosi atau pandangan mereka dalam pelbagai lapangan kehidupan telah lama dipraktikkan di Barat.

''Bagaimanapun ia akan dilakukan secara terkawal di samping orang ramai juga berpeluang mengetengahkan bakat mereka dalam kegiatan kebudayaan,'' ujarnya.

Kelantan juga mahu JPP dimansuh

01-06-2008 09:21:41 PM

KOTA BAHARU: Kerajaan Kelantan menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membubarkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Sabah yang mungkin disusuli dengan pembubaran JPP Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Datuk Takiyuddin Hassan berkata, keputusan kerajaan pusat itu bertepatan dengan kuasa yang diberi kepada negerinegeri dalam melaksanakan setiap peruntukan yang disalurkannya.

"Dengan cara demikian pembangunan dapat dilaksanakan dengan licin dan cepat tidak sebagaimana sekarang," katanya kepada pemberita selepas menutup Pertandingan Beruk Memetik Kelapa di sini, hari ini.

Program sempena program Tahun Melawat Kelantan 2008 turut diadakan pelbagai program kebudayaan termasuk membuat alatan tradisional yang berasaskan pokok kelapa.

Menurutnya, Perdana Menteri mempunyai asas yang cukup untuk membubarkan JPP di Sabah sebagaimana yang dihasratkan oleh rakyat negeri itu.

"Kita harap perkara itu disusuli di Kelantan selepas ini memandangkan penubuhan JPP telah menyebabkan banyak pertindihan kuasa," kata Takiyuddin.

Tanpa menafikan adanya JPP Kelantan turut membangun negeri ini, beliau bagaimanapun berkata, berlaku kelewatan dalam menyalurkan peruntukan wajib kepada pihak berkuasa tempatan dan bahagian perumahan.

"Kalau kerajaan pusat salurkan terus, peruntukan per kapita kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), ia boleh diguna mengikut jadual," katanya. BERNAMA

Sunday, April 6, 2008

PBT disaran tingkatkan usaha tarik pelancong

Atiff Idris
Sun | Apr 06, 08 | 7:09:16 pm MYT

PASIR MAS, 6 April - Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) disaran meningkatkan usaha bagi menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke negeri ini sempena Tahun Melawat Kelantan 2008.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Dato' Takiyuddin Hassan berkata, tumpuan turut diberi kepada PBT yang terletak di kawasan pintu masuk ke Kelantan terutamanya Pengkalan Kubur dan Rantau Panjang.

Selain itu katanya, tempat rekreasi yang menjadi tumpuan sebelum ini akan dinaiktaraf antaranya Gunung Stong di Dabong, Kuala Krai.

"Kerajaan negeri juga akan membina homestay di Kampung La, Machang dan beberapa tempat lagi termasuk di Jeli yang tersohor dengan pusat rekreasi kolam air panas.

"Dalam masa terdekat ini juga kita akan menjemput pengusaha-pengusaha hotel untuk diberi taklimat mempromosikan pakej pelancongan yang akan diperkenalkan," katanya pada perasmian Pertandingan Seni Suara Burung Ketitir (Merbok) Antarabangsa Kelantan 2008, di Lubok Jong, baru-baru ini.

Acara tahunan itu diadakan sempena ulangtahun keputeraan Sultan Kelantan kali ke-58 bermula 30 Mac lalu.

Takiyuddin juga berkata, kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan penggiat seni untuk mewujudkan "bulan kesenian" yang bakal diisi dengan pelbagai acara kesenian.

Katanya, ia membabitkan pertandingan bermula di peringkat daerah, negeri, negara dan antarabangsa.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Pertandingan Seni Suara Burung Ketitir (Merbok) Antarabangsa Kelantan berkata, acara tersebut merupakan produk pelancongan penting di Kelantan.

"Pertambahan bilangan peserta kepada 2,000 orang tahun ini membuktikan aktiviti pemeliharaan burung masih diminati ramai. Peserta luar negara termasuk dari Thailand, Indonesia dan Singapura," ujarnya.

Acara dipertandingkan iaitu kategori burung ketitir, tekukur, candik, tiong, ayam serama dan murai batu yang baru diperkenalkan.

Pada majlis itu, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra menganugerahkan hadiah-hadiah kepada setiap pemenang.

Pemenang cabutan bertuah bonanza yang menawarkan Proton Saga Aeroback 1.3L dimenangi Wan Mohamad Yusuff, 46 dari Kota Bharu yang juga peserta pertandingan ketitir.

Hadir sama Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra, Timbalan Menteri Besar, Dato' Ahmad Yakob dan anggota-anggota Exco.

Selain itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mohd Aiseri Alias, Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Shkori Mohamed dan pegawai kanan kerajaan. - Harakahdaily.net