Thursday, July 3, 2008

Peniaga pasar borong Wakaf Che Yeh semakin terbela

Ramli Yamat
Wed | Jul 02, 08 | 8:33:27 pm MYT

KOTA BHARU, 2 Julai (Hrkh) � Nasib peniaga pasar borong yang pada awalnya dipindahkan dari Jalan Hamzah ke Wakaf Che Yeh kini semakin terbela, biar pun mereka pernah membantah langkah dibuat kerajaan negeri.

Biar pun beberapa siri demontrasi diadakan membantah hasrat kerajaan negeri namun hari ini mereka memiliki tapak perniagaan yang jauh lebih selesa.

Sebelum dapat berniaga di ruang yang selesa sekarang mereka sudah tiga kali berpindah. Di sebalik susah payah itu akhirnya peniaga terbabit sekarang mampu senyum memanjang.

ImageMulai semalam, 750 peniaga Pasar Wakaf Che Yeh berpindah dari tapak pasar sementara ke bangunan pasar baru yang lebih moden dan selesa. Lokasi baru itu terletak lebih kurang 300 meter daripada tapak pasar borong sementara.

Bermula pagi semalam seramai 250 peniaga pasar pagi, 350 peniaga pasar malam, 50 peniaga pasar borong dan 100 peniaga pasar tani berpindah ke lokasi baru tersebut.

Perpindahan 250 peniaga pasar pagi semalam turut disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan dan pegawai kanan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI).

Pembinaan Pasar Awam Bersepadu Wakaf Che Yeh melibatkan kos sebanyak RM27 juta. Keluasannya 6,166 meter persegi dibina Sensatimur Sdn Bhd dengan kerjasama MPKB BRI.

Pengarah Perhubungan Awam MPKB-BRI, Azman Mohd Daham berkata, perpindahan sepenuhnya peniaga ke tapak baru berkuatkuasa sehingga 6 Julai ini.

Katanya, orang ramai yang datang untuk membeli-belah di pasar baru berkenaan akan merasa lebih selesa berbanding pasar lama.

�Sebanyak 350 ruang niaga disediakan dalam bentuk gerai pasar pagi yang memulakan perniagaan dari jam 7 pagi hingga 1 tengahari.

�Sehingga kini masih terdapat 100 petak yang belum disewa. Manakala 700 petak lagi disediakan untuk peniaga pasar malam. Dan sehingga sekarang 350 peniaga menyewanya di mana waktu perniaga bermula jam 6 petang hingga 1 pagi,� katanya di sini.

Selain itu Azman berkata, kesemua 50 petak pasar borong yang disediakan habis disewa peniaga, di mana waktu perniagaan ditetapkan bermula jam 1 pagi hingga 7 pagi.

Selain itu pasar baru terbabit juga menyediakan tempat kepada peniaga pasar tani yang menjalankan perniagaan setiap pagi Jumaat.

Tuesday, July 1, 2008

Peniaga Pasar Bersepadu Wakaf Che Yeh diberi subsidi 50 peratus

Salmah Mat Husain
Mon | Jun 30, 08 | 7:35:54 pm MYT

KOTA BHARU, 30 Jun (Hrkh) � Rungutan peniaga mengenai kadar bayaran menduduki Pasar Bersepadu Wakaf Che Yeh agak mahal akhirnya terelai apabila kerajaan negeri memberi subsidi sehingga 50 peratus.

Ini jelas menggambarkan keprihatinan kerajaan Kelantan terhadap rungutan peniaga yang mana sebelum ini mereka menganggap kadar bayaran yang dikenakan pihak pemaju mahal.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan negeri memberi potongan antara 30 hingga 50 peratus kepada peniaga terbabit.

�Ekoran itu subsidi diberi kepada 855 peniaga yang akan menduduki tapak baru perniagaan yang jauh lebih selesa mulai esok. Bagi tujuan itu kerajaan negeri menanggung kos sebanyak RM1.2juta untuk dibayar kepada pemaju,� katanya di sini.

Beliau diminta mengulas berhubung bantahan peniaga di Pasar Borong Wakaf Che Yeh yang dikenakan bayaran sebanyak RM2,000 sehingga RM2,500 sebagai bayaran menyediakan pelbagai kemudahan termasuk payung besar.

Takiyuddin yang juga Adun Bunut Payong berkata, bagi peniaga yang dikenakan bayaran RM2,500 subsidi sebanyak 30 peratus diberi, di mana mereka mengusahakan perniagaan gerai makanan, runcit dan pakaian.

Katanya, bayaran yang dikenakan hanya sekali sahaja iaitu bagi menampung perbelanjaan menyediakan peralatan oleh pihak pemaju.

�Di sini saya nak jelaskan, tiada bayaran kali kedua kepada peniaga yang berniaga di situ, cukup hanya sekali bayaran sahaja kerana kerajaan negeri memberi subsidi. Jadi peniaga tidak perlu risau,� ujarnya.

Beliau juga berkata, peraturan lebih kemas dikenakan bagi memastikan tempat perniagaan baru itu kelihatan cantik, bersih dan menarik memandangkan ia menjadi tumpuan pelancong.

Sebelum ini peniaga di Pasar Borong Wakaf Che Yeh berniaga di tapak sementara yang kurang selesa tidak jauh dari Pasar Bersepadu yang baru siap dibina.

Baru-baru ini peniaga terlibat mengadakan demontrasi aman sebagai membantah kadar bayaran yang dikenakan pemaju agak mahal. Ekoran itu kerajaan negeri terpaksa campur tangan.