Wednesday, January 23, 2008

Kawasan dilanda banjir dapat perhatian khas pimpinan negeri

Abu Thoreeq

Kota Bharu - Kawasan yang dilanda banjir di sekitar bandar Kota Bharu mendapat perhatian khas apabila menerima lawatan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dato' Haji Takiyuddin Haji Hassan baru-baru ini.

Beliau yang sempat melawat beberapa kampung di sekitar tebing sungai Kelantan berkata beberapa tindakan segera akan diambil bagi memastikan aktiviti masyarakat kembali pulih selepas dilanda bencana berkenaan hujung bulan lalu.

"Kita mendapati ada longkang dan jalan-jalan kecil yang belum dipulihkan sepenuhnya menyebabkan kawasan-kawasan tertentu masih menghadapi masalah," kata beliau selepas menziarahi beberapa keluarga yang daif dan kurang bernasib baik.







Tinjauan beliau meliputi kawasan-kawasan yang didiami penduduk padat dan kawasan yang menjalankan aktiviti ekonomi kecil-kecilan seperti industri batik dan penternakan.

"Pihak kerajaan negeri akan segera membantu penduduk yang menghadapi masalah membetulkan semula kediaman seperti atap bocor atau masalah-malasah yang boleh diatasi segera," ujarya.

Orang ramai yang menyambut mesra Dato' Takiyuddin menganggap sikap prihatin dan cakno kepimpinan negeri memberi sinar kepada rakyat dalam meneruskan usaha membangunkan diri dan masyarakat.