Friday, June 6, 2008

Kelantan cadang bina Balai Seni Lukis

Salmah Mat Husain
Thu | Jun 05, 08 | 8:03:41 pm MYT

KOTA BHARU, 5 Jun (Hrkh) - Kerajaan negeri akan memarbatkan karya seni lukis setanding dengan kesenian lain bagi memastikan ia tidak pupus begitu sahaja.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, golongan pelukis perlu diberi perhatian dan tidak membiarkan mereka terpinggir.

Berucap merasmikan Pameran Seni Lukis Kelantan 2008, di Muzium Negeri, di sini hari ini katanya, bagi menjayakan hasrat itu, kerajaan negeri bercadang menyediakan Balai Seni Lukis bersebelahan dengan Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) tidak lama lagi.

Image�Dengan adanya bangunan seperti itu membolehkan pelukis melukis atau menyediakan lukisan untuk dipamerkan kepada pelancong sama ada tempatan atau luar negara. Di situ juga boleh dijadikan tempat mengajar anak-anak muda melukis,� ujarnya.

Menurutnya golongan pelukis disifatkan begitu istimewa dan sukar dicari memandangkan anugerah berkenaan hanya dikurniakan Allah kepada segelintir hamba-Nya sahaja.

Kata beliau melalui usaha tersebut diharap dapat membantu memperkayakan khazanah negeri, sama ada berbentuk artifak, permainan tradisional dan kehidupan masyarakat Kelantan melalui lukisan.

�Kita ingin menjadikan pelukis Kelantan mempunyai identitinya yang tersendiri sehingga dikagumi semua pihak,� katanya lagi.

Pameran itu berlangsung selama sebulan bermula hari ini. Sebanyak 100 lukisan pelbagai tema yang diilhamkan 50 pelukis tempatan dan jemputan dipamerkan.

Program berkenaan turut mendapat kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Persatuan Seni lukis Kelantan (Peseni).

Bercakap kepada media selepas itu beliau berharap kenaikan harga minyak yang begitu tinggi mulai hari ini tidak membantut kedatangan pelancong ke Kelantan. - mj

Monday, June 2, 2008

Ibadat jadi tarikan pelancong

KOTA BHARU 2 Jun - Dalam usaha mencari kelainan sempena Tahun Melawat Kelantan 2008, kerajaan Pas akan menjadikan September ini sebagai Bulan Ibadat untuk menarik pelancong.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, bulan puasa boleh menjadi salah satu tarikan bagi pelancong untuk merasai suasana beribadat di negeri ini.

Katanya, selain merasai suasana sembahyang terawih di kawasan terbuka, pelancong juga boleh merasai pengalaman solat dan berbuka puasa di beberapa masjid terkenal.

''Ini termasuklah di masjid di Pulau Melaka berhampiran kediaman Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,'' katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Speaker's Corner di KB Mall di sini hari ini.

Menurut Takiyuddin, satu program yang terancang akan dirangka dengan kerjasama pelabagi pihak termasuk pihak hotel dan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) bagi memudahkan pelancong.

''Mereka boleh mengatur persiapan termasuk pakej untuk ibadat dan lawatan-lawatan ke tempat yang mempunyai kaitan dengan agama supaya pelancong yang datang tidak merasai kesulitan untuk ke sesuatu tempat," ujar beliau.

Sementara itu, berucap pada majlis tersebut beliau berkata, program Speaker's Corner yang akan diadakan setiap hujung minggu di beberapa destinasi tumpuan juga menambahkan lagi keunikan Kelantan.

''Pendekatan sedemikian yang membolehkan rakyat meluahkan emosi atau pandangan mereka dalam pelbagai lapangan kehidupan telah lama dipraktikkan di Barat.

''Bagaimanapun ia akan dilakukan secara terkawal di samping orang ramai juga berpeluang mengetengahkan bakat mereka dalam kegiatan kebudayaan,'' ujarnya.

Kelantan juga mahu JPP dimansuh

01-06-2008 09:21:41 PM

KOTA BAHARU: Kerajaan Kelantan menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membubarkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Sabah yang mungkin disusuli dengan pembubaran JPP Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Datuk Takiyuddin Hassan berkata, keputusan kerajaan pusat itu bertepatan dengan kuasa yang diberi kepada negerinegeri dalam melaksanakan setiap peruntukan yang disalurkannya.

"Dengan cara demikian pembangunan dapat dilaksanakan dengan licin dan cepat tidak sebagaimana sekarang," katanya kepada pemberita selepas menutup Pertandingan Beruk Memetik Kelapa di sini, hari ini.

Program sempena program Tahun Melawat Kelantan 2008 turut diadakan pelbagai program kebudayaan termasuk membuat alatan tradisional yang berasaskan pokok kelapa.

Menurutnya, Perdana Menteri mempunyai asas yang cukup untuk membubarkan JPP di Sabah sebagaimana yang dihasratkan oleh rakyat negeri itu.

"Kita harap perkara itu disusuli di Kelantan selepas ini memandangkan penubuhan JPP telah menyebabkan banyak pertindihan kuasa," kata Takiyuddin.

Tanpa menafikan adanya JPP Kelantan turut membangun negeri ini, beliau bagaimanapun berkata, berlaku kelewatan dalam menyalurkan peruntukan wajib kepada pihak berkuasa tempatan dan bahagian perumahan.

"Kalau kerajaan pusat salurkan terus, peruntukan per kapita kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), ia boleh diguna mengikut jadual," katanya. BERNAMA