Wednesday, October 3, 2007

Jadikan Ramadan penggerak pembaharuan

Oleh Mohamed Zainal Abidin Hussin

Kota Bharu, 3 Oktober - Umat Islam harus menjadikan Ramadan sebagai penggerak kepada pembaharuan dalam membentuk masyarakat dan negara yang lebih bermanfaat dan membahagiakan.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato' Haji Takiyuddin Hassan berkata amalan-amalan yang dilakukan sepanjang bulan mulia itu harus menjadi pemangkin dalam melahirkan suasana lebih harmoni dan bertanggungjawab di kalangan masyarakat.

"Kita selalu mengulang-ulang ayat yang menyatakan tujuan manusia disuruh melaksanakan ibadah puasa iaitu meningkatkan ketaqwaan yang membawa maksud umat Islam harus memperbaiki diri dari semasa ke semasa," kata beliau di majlis iftar jamaie anjuran masjid Muhsinin, Kampung Puteh, Jalan Kuala Krai dekat sini Rabu lalu.

Sepanjang Ramadan katanya, umat Islam melakukan pelbagai amalan seperti membaca al-Quran, qiamullail, bersedeqah, menyediakan jamuan berbuka puasa dan pelbagai lagi yang bertujuan membina sakhsiyah diri yang lebih cemerlang.

"Semua ini mesti dijadikan landasan untuk membolehkan kita melakukan perubahan ke arah suasana lebih bertaqwa seperti yang dikehendaki Allah SWT dan diimpikan oleh seluruh manusia," tambahnya.

Perkataan taqwa menurut beliau bukanlah satu konsep yang tersimpan dalam hati tanpa apa-apa kesan terhadap kehidupan harian.

"Dengan bekal taqwa yang dihasilkan daripada tarbiyah Ramadan umat Islam perlu lebih berupaya untuk menolak segala bentuk penyelewengan dan gejala buruk yang berlaku dalam segala bidang," ujar beliau.

Suara umat Islam yang berlandaskan hasil kejayaan melepasi madrasah Ramadan menurut beliau harus mampu memperbetulkan kepincangan dalam bidang politik, ekonomi dan sosial yang semakin serius kebelakangan ini.

Pada majlis berbuka puasa itu Dato' Takiyuddin turut menyampaikan bantuan khas kepada masjid berkenaan untuk menyiapkan kerja-kerja pengubahsuaian bagi keselesaan ahli jamaah.

No comments: