Thursday, October 4, 2007

Sikap tidak kisah soal mengundi berbahaya - Takiyuddin

Kota Bharu, 4 Oktober - Sikap segolongan umat Islam yang tidak ambil kisah untuk mendaftar sebagai pengundi adalah berbahaya kerana pemimpin yang dipilih melalui pilihanraya akan menjadi penentu keadaan baik atau buruk di sesebuah negeri atau negara.

Bagi negeri yang mendapat pemimpin yang bertaqwa hasil pilihan rakyat melalui pilihanraya, masyarakat akan mendapat rahmat dan kebahagiaan kerana segala bentuk maksiat dan aktiviti perosak akan disekat kata ahli Exco kerajaan negeri, Dato' Haji Takyuddin Hassan.

"Di Kelantan, hasil keputusan rakyat melalui pilihanraya untuk meletakkan ulamak sebagai pemimpin membolehkan kita melihat kebaikan yang banyak dapat dinikmati samada dari segi penghayatan Islam mahupun penghindaran gejala negatif," kata beliau ketika berucap di majlis tadarus yang diadakan di pusat pengajian tahfiz Muaz Bin Jabal di Pintu Geng di sini Khamis lalu.

Dengan mengambil contoh program tadarus yang dianjur kerajaan negeri beliau berkata rakyat negeri ini amat bertuah kerana kerajaan sendiri mengambil inisiatif untuk menjadi penganjur program-program pembangunan modal insan yang selari dengan sunah Rasul SAW.

"Dengan penganjuran oleh pihak kerajaan sendiri, program-program yang amat bermanfaat seperti ini boleh diadakan secara besar-besaran dan dapat disertai oleh seluruh lapisan masyarakat," ujar beliau.

Menurut beliau keadaan seperti ini tidak akan berlaku di negeri yang pemimpin mereka tidak meletakkan Islam sebagai landasan perjuangan mereka.

"Ada negeri tertentu yang program-program agama terpaksa dibuat secara kecil-kecilan malah aktiviti tertentu seperti mengadakan tazkirah dilarang oleh pemimpin tertinggi kerajaan," katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan orang ramai bahawa suasana Islam di bandar-bandar di Kelantan yang tidak ada premis judi, minuman keras berleluasa dan pusat-pusat hiburan maksiat hanya akan kekal jika pengundi terus memberi sokongan kepada pemimpin yang menjadikan Islam sebagai pegangan politik.

"Jika kita membenarkan pemimpin yang tidak hirau soal Islam mentadbir sudah tentu suasana yang memudaratkan aqidah umat akan menular di tempat kita," tambahnya.

No comments: