Friday, February 29, 2008

Markaz Bunut Payong gempur lawan dengan ‘meriam’

Intan Abdullah
Thu | Feb 28, 08 | 3:07:19 pm MYT

KOTA BHARU, 28 Feb (Hrkh) – Bersiap hadapi musuh, senjata sudah terhunus. Meriam sedia ditembak, pertahanan musuh perlu dirobek.

Inilah situasi yang dapat digambarkan di Markaz Bunut Payong, Jalan Kuala Krai dekat sini.

Markaz itu dikendalikan Skuad Pemuda Belia Bersatu hasil inisiatif Pemuda PAS Bunut Payong.

Pengerusi Skuad Pemuda Bela Bersatu, Shukri Ibrahim berkata, markaz tersebut diwujudkan sebaik pembubaran parlimen diumumkan sebagai membangkitkan semangat pemuda bekerja dengan lebih gigih bagi mempertahankan kemenangan kerajaan PAS di Kelantan.

"Idea mewujudkan markaz berkonsepkan kubu tentera perang ini sudah bermula sejak 1990 iaitu ketika pilihan raya umum ke-9. Kita memilih konsep tersebut dengan anggapan pilihan raya seumpama medan perang.

“Dekorasi yang dibuat untuk mengingatkan semua pihak agar bersiap sedia dengan situasi tersebut," katanya ketika ditemui di markaz tersebut malam tadi.

Replika tersebut menggambarkan meriam, kubu perang dan tentera yang menembak menggunakan senapang perang dalam kubu. Selain itu ada juga tentera yang menggunakan busur dan anak panah.

Ada ketika kedengaran kesan bunyi seperti suasana peperangan sehingga menarik perhatian orang ramai yang melalui kawasan tersebut.

Bahagian hadapan markaz dihiasi dengan sebuah meriam beserta peluru-pelurunya serta pelbagai kain rentang dihiasi lampu warna warni.

Kenderaan yang melalui jalan tersebut bergerak perlahan untuk mencuri pandang keunikan reka bentuk markaz 'ala kem tentera' itu.

Di situ juga terdapat kain rentang kempen undilah PAS berlatar belakang gambar pimpinan PAS. Terdapat juga tulisan 'kami pemuda mahukan kepimpinan ulama pada bahagian depan markaz tersebut’.

Di bahagian dalam ‘kem’ tersebut juga dihiasi dengan pameran gambar beberapa aktiviti yang dijalankan skuad yang dilengkapi dengan kemudahan komputer, sistem audio canggih, penata bunyi dan kawasan lapang bagi memudahkan petugas berehat.

Jadual tugasan disediakan di mana tiga petugas bertugas daripada jam 9 malam sehingga Subuh. Manakala petugas lain melaksanakan akviti memasang bendera, kain rentang dan menghadiri taklimat polling agent.

Lebih menarik lagi markaz itu turut menyediakan makanan, risalah bagi pengunjung yang singgah bagi mendengar ceramah yang dipasang melalui pemain VCD.

Antara aktiviti yang dijalankan di pos tersebut termasuk solat hajat pada hari penamaan calon dan pembukaan pos serta taklimat urusan petugas-petugas pilihan raya.

Shukri berkata, skuad tersebut dianggotai 250 pemuda termasuk di kalangan bukan Muslim turut bersama bekerja bagi mempertahankan kerajaan PAS Kelantan. Empat orang dilantik sebagai penasihat.

"Kesemua replika yang dibina dibiayai sendiri anggota skuad. Dan setiap anggota yang bertugas berpakaian seragam. Tugas kami seperti Unit Amal," ujarnya.