Friday, June 22, 2007

Kelantan usaha dapatkan kembali ufti ‘Bunga Emas’

Salmah Mat Husain
Fri | Jun 22, 07 | 06:57:14 PM

KOTA BHARU, 22 Jun (Hrkh) - Rakyat Kelantan mungkin akan dapat melihat ufti ‘Bunga Emas’ dari dekat, sekiranya usaha untuk mendapatkan semula ‘pohon pitis’ itu mendapat kerjasama kerajaan Thailand.

Ufti tersebut dihantar kerajaan Melayu Kelantan pada zaman sebelum kedatangan penjajah Inggeris sebagai ‘perlindungan’ di bawah naungan Siam.

Kisah mengenai ufti Bunga Emas banyak dimuatkan dalam buku-buku sejarah sekolah rendah dan menengah. Malah, logo pokok pitis digunakan sebagai lambang rasmi Bank Simpanan Nasional.

Namun, rupa sebenar ufti terbabit tidak dapat dilihat rakyat Kelantan. Oleh itu kerajaan negeri melalui Perbadanan Muzium Negeri akan berusaha mendapatkan semula ‘Bunga Emas’ yang pernah dijadikan ufti kepada kerajaan Siam yang kini berada di Muzium Bangkok.

Pengerusi Perbadanan Muzium Negeri, Dato’ Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan negeri akan berunding dengan Bangkok bagi membolehkan sebahagiannya dibawa semula ke Muzium Negeri.

“Walaupun permohonan rasmi berhubung perkara tersebut belum lagi dibuat, namun usaha ke arah itu sedang dijalankan. Kita sedang berusaha dan InsyaAllah, kita akan menyegerakan permohonan untuk mendapatkan sebahagian kepingan bunga emas tersebut.

“Saya juga difahamkan kerajaan Kedah sedang berbuat demikian dan kita juga sedang berusaha ke arah itu,” ujarnya kepada pemberita selepas merasmikan pameran Satu Perkampungan 10,000 tahun silam di Muzium Negeri semalam.

Pameran arkeologi tersebut yang ditemui di Lembah Nenggiri Hulu Kelantan.

Ketika berucap sebelum itu beliau memberitahu, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan mana-mana pengkaji sejarah yang ingin mencari bahan bersejarah di negeri ini.

Menurutnya, ia amat perlu untuk dijadikan tatapan masyarakat sama ada ada individu, pelajar atau golongan intelek.

Jelas beliau kebesaran Allah dapat dibuktikan dengan penemuan bahan berkenaan, di mana masyarakat sekarang dapat mengetahui pemikiran yang Allah berikan kepada manusia menerusi pencapaian tamadun.

Pameran tersebut berlangsung selama sebulan bermula 20 Jun hingga 19 Julai depan bertempat di Muzium Negeri Kelantan. Ia diadakan secara percuma.

Artifak yang dipamerkan merupakan peralatan yang digunakan masyarakat kuno kira-kira 10,000 tahun lampau. Ia ditemui di beberapa buah gua di Nenggiri Gua Musang antaranya Gua Cha dan Gua Cawasi.

Bahan yang dipamerkan termasuk kerangka mayat, peralatan senjata yang dibuat daripada batu dan tembikar.