Rizal Tahir Thu | Jul 19, 07 | 07:27:37 PM | |
KOTA BHARU, 19 Julai (Hrkh) - Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat mengimamkan solat jenazah mangsa nahas pesawat Nuri, Sarjan Udara, Khusnizaim Ariffin, 34 di Masjid Bunut Payong, dekat sini petang ini. Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bunut Payong bersebelahan masjid tersebut dengan penuh adat istiadat ketenteraan. Kira-kira 300 penduduk tempatan termasuk pegawai dan anggota tentera menunaikan solat jenazah dalam suasana cukup pilu. Sebelum itu, Allahyarham disembahyangkan di rumahnya di Kampung Bunut Payong, sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra kira-kira jam 4 petang. Perjalanan jenazah ke kampung halamannya diiringi anggota polis trafik. Ketika itu suasana di perkarangan rumah keluarga mangsa dan masjid Bunut Payong penuh dengan orang ramai. Jenazah wira negara itu kemudian disembahyang sekali lagi di Masjid Bunut Payong sebelum dikebumikan kira-kira jam 5.20 petang. Turut hadir Adun Bunut Payong yang juga anggota exco kerajaan negeri, Dato’ Takiyuddin Hassan, Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman, Ketua Polis Kelantan, Dato’ Abdul Rahim Hanafi dan Kol Haizir Lebai Yaakob. Lebih ramai penduduk dan anggota keluarga terdekat berada di tanah perkuburan mengiringi perjalanan terakhirnya. Sementara itu, Takiyuddin ketika ditemui berkata, kerajaan tidak seharusnya membuat keputusan menukar pesawat Nuri kerana faktor politik semata-mata. “Kerajaan sepatutnya terlebih dahulu mendapat pandangan pakar berhubung penggunaan pesawat Nuri sama ada ia sesuai digunakan lagi atau sebaliknya. “Jadi saya berharap kerajaan kalau buat keputusan hendak tukar pesawat baru jangan sekali-kali kerana tekanan politik, sebaliknya kerana keselamatan anggota tentera,” ujarnya. Beliau juga berkata, kerajaan negeri melalui Tabung Serambi Mekah bersedia memberi bantuan segera kepada isteri allahyarham dan keluarganya. Takiyuddin juga turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa terbabit dan berharap mereka bersabar di atas kejadian malang yang berlaku. Anggota Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub berkata, sepatutnya kerajaan menukar pesawat Nuri kepada yang baru sejak 10 tahun lalu. Katanya, isyarat supaya pesawat Nuri ditukar baru telah lama berlaku namun kerajaan seperti tidak berminat. |
Friday, July 20, 2007
MB imamkan solat jenazah Sarjan Udara Khusnizaim
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment