Sunday, January 27, 2008

PAS siap sedia perkasakan e-media bantu kempen pilihan raya

Ahmad Tajdid
Sat | Jan 26, 08 | 2:38:53 pm MYT

KUALA LUMPUR, 26 Jan - Semua lapisan jentera penerangan parti disaran menerbitkan penerbitan masing-masing yang menjurus kepada maklumat tempatan menerusi media elektronik atau internet terutamanya berita-berita mengenai PAS dan negeri Kelantan.

Malah portal akhbar seperti Harakahdaily.net perlu diperluas kandungannya bagi menjadi alat kempen paling penting kepada PAS untuk dicetak dan diedarkan, kata Pengarah Jabatan Teknologi Maklumat PAS Pusat (JITP), Zuhaimi Embong.

Zuhaimi membentangkan kertas kerja bertajuk "Pemerkasaan e-media PAS ke arah pemantapan gerak kerja ICT untuk penerangan dan dakwah" pada Bengkel Pemerkasaan e-Media Untuk PRU-12 di Dewan Dato Fadzil Mohd Nor, Markaz Tarbiah PAS Pusat, pagi tadi.

Bengkel sehari itu dihadiri wakil Lajnah ICT PAS dan Lajnah Penerangan dan Dakwah PAS peringkat pusat, negeri dan dewan-dewan.

Ia dirasmikan Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS merangkap Pengerusi Lajnah ICT PAS Pusat, Ustaz Abdul Ghani Shamsudin.

Zuhaimi yang juga Ketua ICT Lajnah Penerangan PAS Pusat menambah, ICT boleh membantu mencapai pemerkasaan kempen penerangan PAS pada kempen pilihan raya dengan memanfaatkan sepenuhnya media elektronik.

"PAS sebenarnya telah melaksanakan beberapa pendekatan memanfaatkan teknologi ICT bagi mencapai kemajuan dalam pengurusan pilihan raya kita.

"Tetapi JITP disaran mempertingkatkan lagi penguasaannya supaya kita dapat mendekatkan jurang dengan pihak lawan dalam konteks penyampaian maklumat secara pantas kepada ahli dan pengundi," ujarnya.

Beliau menambah, terdapat cadangan supaya satu skuad pemantau e-media yang beroperasi 24 jam sehari bagi memantau dan menyebarkan maklumat pantas menggunakan konsep e-media.

Bengkel itu turut mendengar pembentangan isu-isu terpilih pilihan raya umum ke-12 yang disampaikan Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad.

Pada sebelah petangnya berlangsung sesi percambahan minda tentang pembentukan skuad siber dan penyediaan pelan induk integrasi e-media bersepadu PAS untuk pilihan raya umum ke-12, yang dimudahcarakan oleh Setiausaha Lajnah Penerangan dan Dakwah PAS Pusat, Misbahul Munir Masduki dan Ahli Lajnah ICT PAS Pusat, Ahmad Jamal.

Majlis perasmian penutup disempurnakan Timbalan Pengerusi Lajnah ICT PAS Pusat, Dato Takiyuddin Hassan. - Harakahdaily

No comments: