Tuesday, July 1, 2008

Peniaga Pasar Bersepadu Wakaf Che Yeh diberi subsidi 50 peratus

Salmah Mat Husain
Mon | Jun 30, 08 | 7:35:54 pm MYT

KOTA BHARU, 30 Jun (Hrkh) � Rungutan peniaga mengenai kadar bayaran menduduki Pasar Bersepadu Wakaf Che Yeh agak mahal akhirnya terelai apabila kerajaan negeri memberi subsidi sehingga 50 peratus.

Ini jelas menggambarkan keprihatinan kerajaan Kelantan terhadap rungutan peniaga yang mana sebelum ini mereka menganggap kadar bayaran yang dikenakan pihak pemaju mahal.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan negeri memberi potongan antara 30 hingga 50 peratus kepada peniaga terbabit.

�Ekoran itu subsidi diberi kepada 855 peniaga yang akan menduduki tapak baru perniagaan yang jauh lebih selesa mulai esok. Bagi tujuan itu kerajaan negeri menanggung kos sebanyak RM1.2juta untuk dibayar kepada pemaju,� katanya di sini.

Beliau diminta mengulas berhubung bantahan peniaga di Pasar Borong Wakaf Che Yeh yang dikenakan bayaran sebanyak RM2,000 sehingga RM2,500 sebagai bayaran menyediakan pelbagai kemudahan termasuk payung besar.

Takiyuddin yang juga Adun Bunut Payong berkata, bagi peniaga yang dikenakan bayaran RM2,500 subsidi sebanyak 30 peratus diberi, di mana mereka mengusahakan perniagaan gerai makanan, runcit dan pakaian.

Katanya, bayaran yang dikenakan hanya sekali sahaja iaitu bagi menampung perbelanjaan menyediakan peralatan oleh pihak pemaju.

�Di sini saya nak jelaskan, tiada bayaran kali kedua kepada peniaga yang berniaga di situ, cukup hanya sekali bayaran sahaja kerana kerajaan negeri memberi subsidi. Jadi peniaga tidak perlu risau,� ujarnya.

Beliau juga berkata, peraturan lebih kemas dikenakan bagi memastikan tempat perniagaan baru itu kelihatan cantik, bersih dan menarik memandangkan ia menjadi tumpuan pelancong.

Sebelum ini peniaga di Pasar Borong Wakaf Che Yeh berniaga di tapak sementara yang kurang selesa tidak jauh dari Pasar Bersepadu yang baru siap dibina.

Baru-baru ini peniaga terlibat mengadakan demontrasi aman sebagai membantah kadar bayaran yang dikenakan pemaju agak mahal. Ekoran itu kerajaan negeri terpaksa campur tangan.

1 comment:

Unknown said...

biso wokaf che yeh loni.
buke setakat ado pasar moden, superhero malaysia, the GomoMan, pun made in wakaf che yeh tu. huhu