Wednesday, March 26, 2008

Kelantan sokong diadakan semula pilihan raya PBT

Rizal Tahir
Tue | Mar 25, 08 | 4:32:11 pm MYT

KOTA BHARU, 25 Mac (Hrkh) - Kelantan menyokong penuh cadangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mendapatkan pandangan orang ramai mengenai cadangan mengadakan semula pilihan raya di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan bagaimanapun berkata, untuk menjayakan hasrat tersebut ia mempunyai beberapa syarat tertentu.

Antara syarat tersebut iaitu komposisi kaum perlu ditentukan sebagai usaha menjaga kebajikan dan keselesaan pelbagai etnik yang menghuni di kawasan PBT.

"Misalnya dalam satu majlis daerah pembahagian mengikut kaum perlu. Selain itu mengikut profesion seseorang ahli majlis sebagaimana yang dipraktik di Kelantan.

"Sebab itu sekarang di bawah PBT kita ada 24 orang ahli majlis di mana ada yang mewakili profesion tertentu, kaum, persatuan-persatuan badan bukan kerajaan dan sebagainya," ujar beliau.

Beliau ditemui selepas mengadakan mesyuarat pertama dengan kakitangan Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) setelah dilantik menerajui portfolio pelancongan dan kebudayaan, di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah TIC, Mohd Arif Mohd Nor serta kakitangannya.

Hari ini akhbar melaporkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ong Ka Chuan berkata, kerajaan akan mendapatkan pandangan orang ramai mengenai cadangan mengadakan pilihan raya peringkat PBT, yang pernah dilakukan 40 tahun lalu.

Takiyuddin berkata, kuota mengikut calon yang profesional juga harus ditentukan mengikut kemahiran seseorang ahli majlis PBT.

"Tidak timbul soal bukan Melayu akan menguasai PBT memandangkan golongan berkenaan lebih ramai tinggal di kawasan pusat bandar.

"Kita kena ada terma rujukan atau pun garis panduan untuk tujuan itu bagi melahirkan ahli PBT yang bersih dan adil," ujarnya.

Oleh itu katanya, Kelantan bersedia bekerjasama melaksanakan cadangan tersebut memandangkan negeri ini juga disenaraikan sebagai ahli dalam Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan.

"Jadi kita boleh mengutarakan idea untuk dibincangkan bersama agar perkara itu dapat dijayakan sebagaimana yang dicetus semula kerajaan.

"Kita pun tak nak juga satu bandar hanya dikuasai satu kaum sahaja, kita memang setuju pada dasarnya diadakan pilihan raya PBT, sebabnya orang yang dipilih itu benar-benar komited dengan tugasnya," kata beliau.

Malah katanya, mereka yang tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik, pastinya akan tewas dalam pilihan raya PBT yang diadakan.

Takiyuddin sebelum ini pernah membuat kenyataan supaya diadakan pilihan raya di peringkat PBT bagi melahirkan ahli PBT yang benar-benar komited dengan tugas diamanahkan.

1 comment:

Unknown said...

dato'

bagus dato' boleh ada blog sendiri. baru nampak profesional dalam berdakwah. lagi satu saya cadangkan supaya pemimpin PAS nampakkan imej korporat macam dato' ni. bukan tak boleh berserban dan berjubah, tapi dalam berdakwah kita perlu tengok sasaran audience kita. orang2 muda lebih suka kepada pemimpin yang sempoi tapi beriman. org bukan islam pun tak la takut sgt bila sebut PAS. itu pandangan saya saja.

dikesempatan ini juga saya harap dato' dapat hebahkankan blog saya mengenai WPI di johor. inilah saja cara yg boleh saya beri kesedaran tentang kesan pembangunan wpi. terima kasih

http://wilayahpembangunaniskandar.wordpress.com/

may Allah bless you. Amin