Tuesday, September 18, 2007

Orang ramai diminta bersama kerajaan jaga kesucian Ramadan

Kota Bharu, 18 September - Orang ramai diminta memberi kerjasama kepada pentadbiran Kota Bharu Banda Raya Islam dalam memastikan kesucian Ramadan tepelihara daripada unsur-unsur kurang sihat seperti tidak berpuasa dan peniaga yang engkar.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dato' Haji Takiyuddin Haji Hassan berkata Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) bekerjasama penuh dengan jabatan-jabatan kerajaan lain di peringkat negeri dan persekutuan bagi memastikan bulan Ramadan yang mulia benar-benar terpelihara.

Bagi tujuan itu beliau meminta orang ramai yang terserempak dengan mereka yang mengengkari kewajipan berpuasa supaya segera melaporkan kepada pihak MPKB-BRI bagi membolehkan tindakan dapat diambil dengan segera.

Ditanya sama ada MPKB-BRI mewujudkan pasukan pengintip ala Mat Skodeng beliau berkata tidak ada pasukan rasmi seperti itu diwujudkan tetapi mengakui mempunyai hubungan dengan pihak tertentu yang secara sukarela mengesan mereka yang tidak berpuasa di bandar ini.

"Mereka tidak akan membuat sebarang tindakan tetapi akan melaporkan kepada pihak MPKB-BRI dan Jabatan Agama bagi membolehkan pihak penguatkuasa yang sah segera bertin dak," kata beliau kepada sidang media selepas menyampaikan bantuan ihya Ramadan dan Manfaat Kifalah di Kediaman Rasmi Menteri Besar, JKR 10 di sini pagi ini.

Pada majlis itu imam-imam masjid dan surau di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri Bunut Payong menerima sumbangan daripada Dato' Takiyuddin bagi program menghidupkan Ramadan di tempat masing-masing.

Turut menerima sumbangan ialah waris (wasi) kepada warga emas yang meninggal dunia melalui skim Takaful Kifalah.

Semasa menyampaikan ucapan pada majlis itu beliau mengingatkan semua pihak supaya menjadikan bulan Ramadan sebagai medan untuk mengutip sebanyak mungkin pengurniaan daripada Allah SWT.

Pihak kerajaan katanya telah menyediakan pelbagai skim kebajikan terutama di bulan Ramadan untuk memastikan semua rakyat dapat menjalani kehidupan dengan penuh kesejahteraan dan keberkatan.

Mereka yang bernasib baik dengan dilebihkan rezki oleh Allah SWT kata beliau perlu bersama-sama dengan kerajaan untuk menghulurkan bantuan kepada golongan yang kurang berkemampuan.

No comments: