Kota Bharu, 18 September - Kerajaan negeri yang pada dasarnya bersetuju dengan cadangan Kementerian Pengajian Tinggi berkaitan tapak Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di jajahan Jeli mengemukakan cadangan balas supaya tapak berkenaan di tempatkan lebih jauh dari jalan utama Grik – Tanah Merah.
Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Takiyuddin Hassan berkata pihaknya mengesyorkan satu kawasan yang berada jauh sedikit dari bandar kerana kampus sebuah universiti akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan bandar seperti Jeli.
“Kalau kita ambil contoh Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok yang ditepatkan di satu kawasan yang jauh di pedalaman dan sekarang kawasan itu sedang pesat membangun,” kata belia pada sidang media selepas majlis penyampaian sumbangan ihya’ Ramadhan dan penyerahan cek takaful kifalah di kediaman rasmi Menteri Besar, JKR 10 pagi ini.
Pada majlis itu 29 imam dan wakil imam bagi setiap masjid atau madrasah yang berada di dalam kawasan Bunut Payong meneriman sumbangan ihya’ Ramadan bernilai antara RM300 hingga RM1000 manakala 25 orang wasi (waris warga emas yang meninggal) menerima manfaat Kifalah bernilai RM2000.
Berkaitan kerjasama kerajaan negeri tehadap projek-projek kerajaan pusat Dato’ Takiyuddin memberi jaminan bahawa kerjasama akan diberi sepenuhnya selagi program-program yang dilaksanakan adalah untuk faedah seluruh akyat.
“Dalam kes wilayah pembangunan koridor timur (ECER) memang kita sedia memberi kerjasama tetapi malangnya sehingga ini pihak kerajaan negeri tidak diberi sebarang maklumat mengenainya,” kata beliau.
Sebelum itu ketika menyampaikan ucapan beliau menasihatkan imam-imam supaya mempelbagaikan kegiatan bagi menyemarakkan bulan Ramadhan ini dengan mengajak anak kariah mukim mereka untuk mengimarahkan rumah Allah dengan lebih giat lagi.
“Anak-anak perlu didedahkan dengan amalan pada bulan Ramadhan yang mulia ini seperti bersolat terawih, berbuka beramai-ramai ,moreh dan juga bersahur bagi mendidik generasi akan datang terus beramal dan dapat mewarisi tinggalan yang baik dari generasi yang lalu,”ujar beliau lagi.
Mengenai tohmahan yang mengatakan kerajaan negeri hanya menjadikan propaganda politik bila memperkenalkan skim Kifalah untuk warga emas beliau berkata semua pihak sekarang dapat melihat hasil program ini secara nyata.
“Ini bukan janji kosong dari kerajaan negeri dan kita merancang dan juga terus melaksanakan skim ini untuk rakyat”, kata beliau.
Mengenai pemantauan bagi menjaga kesucian Ramadan di Kota Bharu Bandar Raya Islam beliau meminta semua kedai makan termasuk kedai makanan segera seperti KFC, McDonald dan Pizza Hut mematuhi segala peraturan yang ditetapkan termasuk memulakan perniagaan selepas jam 3.00 petang.
No comments:
Post a Comment