Friday, June 6, 2008

Kelantan cadang bina Balai Seni Lukis

Salmah Mat Husain
Thu | Jun 05, 08 | 8:03:41 pm MYT

KOTA BHARU, 5 Jun (Hrkh) - Kerajaan negeri akan memarbatkan karya seni lukis setanding dengan kesenian lain bagi memastikan ia tidak pupus begitu sahaja.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, golongan pelukis perlu diberi perhatian dan tidak membiarkan mereka terpinggir.

Berucap merasmikan Pameran Seni Lukis Kelantan 2008, di Muzium Negeri, di sini hari ini katanya, bagi menjayakan hasrat itu, kerajaan negeri bercadang menyediakan Balai Seni Lukis bersebelahan dengan Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) tidak lama lagi.

Image�Dengan adanya bangunan seperti itu membolehkan pelukis melukis atau menyediakan lukisan untuk dipamerkan kepada pelancong sama ada tempatan atau luar negara. Di situ juga boleh dijadikan tempat mengajar anak-anak muda melukis,� ujarnya.

Menurutnya golongan pelukis disifatkan begitu istimewa dan sukar dicari memandangkan anugerah berkenaan hanya dikurniakan Allah kepada segelintir hamba-Nya sahaja.

Kata beliau melalui usaha tersebut diharap dapat membantu memperkayakan khazanah negeri, sama ada berbentuk artifak, permainan tradisional dan kehidupan masyarakat Kelantan melalui lukisan.

�Kita ingin menjadikan pelukis Kelantan mempunyai identitinya yang tersendiri sehingga dikagumi semua pihak,� katanya lagi.

Pameran itu berlangsung selama sebulan bermula hari ini. Sebanyak 100 lukisan pelbagai tema yang diilhamkan 50 pelukis tempatan dan jemputan dipamerkan.

Program berkenaan turut mendapat kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Persatuan Seni lukis Kelantan (Peseni).

Bercakap kepada media selepas itu beliau berharap kenaikan harga minyak yang begitu tinggi mulai hari ini tidak membantut kedatangan pelancong ke Kelantan. - mj

Monday, June 2, 2008

Ibadat jadi tarikan pelancong

KOTA BHARU 2 Jun - Dalam usaha mencari kelainan sempena Tahun Melawat Kelantan 2008, kerajaan Pas akan menjadikan September ini sebagai Bulan Ibadat untuk menarik pelancong.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, bulan puasa boleh menjadi salah satu tarikan bagi pelancong untuk merasai suasana beribadat di negeri ini.

Katanya, selain merasai suasana sembahyang terawih di kawasan terbuka, pelancong juga boleh merasai pengalaman solat dan berbuka puasa di beberapa masjid terkenal.

''Ini termasuklah di masjid di Pulau Melaka berhampiran kediaman Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,'' katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Speaker's Corner di KB Mall di sini hari ini.

Menurut Takiyuddin, satu program yang terancang akan dirangka dengan kerjasama pelabagi pihak termasuk pihak hotel dan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) bagi memudahkan pelancong.

''Mereka boleh mengatur persiapan termasuk pakej untuk ibadat dan lawatan-lawatan ke tempat yang mempunyai kaitan dengan agama supaya pelancong yang datang tidak merasai kesulitan untuk ke sesuatu tempat," ujar beliau.

Sementara itu, berucap pada majlis tersebut beliau berkata, program Speaker's Corner yang akan diadakan setiap hujung minggu di beberapa destinasi tumpuan juga menambahkan lagi keunikan Kelantan.

''Pendekatan sedemikian yang membolehkan rakyat meluahkan emosi atau pandangan mereka dalam pelbagai lapangan kehidupan telah lama dipraktikkan di Barat.

''Bagaimanapun ia akan dilakukan secara terkawal di samping orang ramai juga berpeluang mengetengahkan bakat mereka dalam kegiatan kebudayaan,'' ujarnya.

Kelantan juga mahu JPP dimansuh

01-06-2008 09:21:41 PM

KOTA BAHARU: Kerajaan Kelantan menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membubarkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Sabah yang mungkin disusuli dengan pembubaran JPP Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Datuk Takiyuddin Hassan berkata, keputusan kerajaan pusat itu bertepatan dengan kuasa yang diberi kepada negerinegeri dalam melaksanakan setiap peruntukan yang disalurkannya.

"Dengan cara demikian pembangunan dapat dilaksanakan dengan licin dan cepat tidak sebagaimana sekarang," katanya kepada pemberita selepas menutup Pertandingan Beruk Memetik Kelapa di sini, hari ini.

Program sempena program Tahun Melawat Kelantan 2008 turut diadakan pelbagai program kebudayaan termasuk membuat alatan tradisional yang berasaskan pokok kelapa.

Menurutnya, Perdana Menteri mempunyai asas yang cukup untuk membubarkan JPP di Sabah sebagaimana yang dihasratkan oleh rakyat negeri itu.

"Kita harap perkara itu disusuli di Kelantan selepas ini memandangkan penubuhan JPP telah menyebabkan banyak pertindihan kuasa," kata Takiyuddin.

Tanpa menafikan adanya JPP Kelantan turut membangun negeri ini, beliau bagaimanapun berkata, berlaku kelewatan dalam menyalurkan peruntukan wajib kepada pihak berkuasa tempatan dan bahagian perumahan.

"Kalau kerajaan pusat salurkan terus, peruntukan per kapita kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), ia boleh diguna mengikut jadual," katanya. BERNAMA

Sunday, April 6, 2008

PBT disaran tingkatkan usaha tarik pelancong

Atiff Idris
Sun | Apr 06, 08 | 7:09:16 pm MYT

PASIR MAS, 6 April - Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) disaran meningkatkan usaha bagi menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke negeri ini sempena Tahun Melawat Kelantan 2008.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Dato' Takiyuddin Hassan berkata, tumpuan turut diberi kepada PBT yang terletak di kawasan pintu masuk ke Kelantan terutamanya Pengkalan Kubur dan Rantau Panjang.

Selain itu katanya, tempat rekreasi yang menjadi tumpuan sebelum ini akan dinaiktaraf antaranya Gunung Stong di Dabong, Kuala Krai.

"Kerajaan negeri juga akan membina homestay di Kampung La, Machang dan beberapa tempat lagi termasuk di Jeli yang tersohor dengan pusat rekreasi kolam air panas.

"Dalam masa terdekat ini juga kita akan menjemput pengusaha-pengusaha hotel untuk diberi taklimat mempromosikan pakej pelancongan yang akan diperkenalkan," katanya pada perasmian Pertandingan Seni Suara Burung Ketitir (Merbok) Antarabangsa Kelantan 2008, di Lubok Jong, baru-baru ini.

Acara tahunan itu diadakan sempena ulangtahun keputeraan Sultan Kelantan kali ke-58 bermula 30 Mac lalu.

Takiyuddin juga berkata, kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan penggiat seni untuk mewujudkan "bulan kesenian" yang bakal diisi dengan pelbagai acara kesenian.

Katanya, ia membabitkan pertandingan bermula di peringkat daerah, negeri, negara dan antarabangsa.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Pertandingan Seni Suara Burung Ketitir (Merbok) Antarabangsa Kelantan berkata, acara tersebut merupakan produk pelancongan penting di Kelantan.

"Pertambahan bilangan peserta kepada 2,000 orang tahun ini membuktikan aktiviti pemeliharaan burung masih diminati ramai. Peserta luar negara termasuk dari Thailand, Indonesia dan Singapura," ujarnya.

Acara dipertandingkan iaitu kategori burung ketitir, tekukur, candik, tiong, ayam serama dan murai batu yang baru diperkenalkan.

Pada majlis itu, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra menganugerahkan hadiah-hadiah kepada setiap pemenang.

Pemenang cabutan bertuah bonanza yang menawarkan Proton Saga Aeroback 1.3L dimenangi Wan Mohamad Yusuff, 46 dari Kota Bharu yang juga peserta pertandingan ketitir.

Hadir sama Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra, Timbalan Menteri Besar, Dato' Ahmad Yakob dan anggota-anggota Exco.

Selain itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mohd Aiseri Alias, Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Shkori Mohamed dan pegawai kanan kerajaan. - Harakahdaily.net

Wednesday, April 2, 2008

Tengku Mahkota Kelantan anugerah hadiah pertandingan suara burung

Rantau Panjang, 2 April - Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra berangkat menyampaikan hadiah di pertandingan seni suara burung di Lubuk Jong di sini.

Baginda berkenan menyampaikan anugerah kepada para pemenang dan peserta yang mendapat mendapat cabutan nombor bertuah.

Sementara itu Exco Kerajaan Negeri, Dato' Haji Takiyuddin Hassan yang menyembahkan ucapan di majlis itu menyanjung tinggi keperihatinan Tengku Mahkota terhadap nilai seni budaya warisan negeri itu.

"Kami rakyat amat yakin segala usaha menghidupkan seni warisan akan lebih meyerlah dengan kesungguhan tuanku memberi perhatian terhadap bidang ini," ujar beliau.

Lebih RM220,000 anak pokok dijual pada Pesta Flora

Md Hakimi
Wed | Apr 02, 08 | 3:12:49 pm MYT

PENGKALAN CHEPA, 2 April - Pesta Flora Negeri Kelantan tahun lepas berjaya mencatat nilai jualan anak-anak pokok sebanyak RM223,440 meningkat berbanding RM185,380 tahun sebelumnya.

Jumlah jualan anak-anak pokok tahun 2007 sebanyak 23,520 dipasar terus kepada orang ramai yang mengunjungi pesta tahunan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pesta flora tahun ini dijangka mampu menarik lebih 50,000 pengunjung tempatan dan pelancong.

�Sasaran 50,000 pengunjung mampu dicapai berdasar kepada kehadiran pengunjung pada tahun 2007 yang mencecah 48,000 pengunjung,� katanya di majlis perasmian Pesta Flora 2008 di Taman Orkid Tengku Anis dekat sini, baru-baru ini.

Kata beliau berlaku pertambahan sebanyak 50 peratus pengunjung berbanding tahun sebelumnya seramai 32,000 pengunjung.

Menurutnya berdasar kepada pertambahan bilangan pengunjung, dijangka jumlah jualan anak-anak pokok jenis bunga-bungaan dan buah-buahan akan meningkat.

Pesta Orkid merupakan acara utama sempena sambutan perayaan ulangtahun Hari Keputeraan Sultan Kelantan. Ia diadakan sejak 1993. Pada peringkat awal diadakan di Taman Orkid di tapak Taman Bendahara sekarang.

Selepas itu dipindahkan ke Jalan Padang Tembak, lokasi yang ada sekarang. Perasmian pesta itu disempurnakan Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.

Turut hadir Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, isteri Menteri Besar, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak, Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Anggota-anggota Exco, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Tema Pesta Flora pada tahun ini �Keindahan Flora Kedamaian Rakyat�.

Takiyuddin berkata, tema itu dipilih kerana tahun ini kerajaan negeri menekankan keindahan alam flora yang sentiasa menjadi daya tarikan dan kebanggaan rakyat Kelantan.

�Selain keindahan flora juga mampu melahirkan suasana tenang dan rasa kecintaan kepada kedamaian dan keamanan. Kedamaian jiwa secara kolektif akan melahirkan masyarakat peka terhadap suasana aman damai.

�Ia akan membentuk satu bangsa dan negara yang cintakan kedamaian dan keamanan sejagat. Ia juga bertepatan dengan tema sambutan hari ulangtahun Keputeraan Sultan Kelantan iaitu Kedaulatan Raja Keamanan Rakyat,� kata beliau.

Pesta itu diadakan selama 10 hari bermula 31 Mac hingga 9 April ini.

Antara aktiviti menarik yang diadakan pertandingan lanskap antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pertandingan bunga khas, pameran gubahan bunga, bunga kertas, bonsai, orkid, bunga ros, kaktus dan bunga aromatik.

Selain itu pertandingan dan pameran model lanskap antara sekolah, fotoragam kanak-kanak, melukis kanak-kanak dan pelajar, memasak ikan air tawar, memancing, kebersihan premis, kebersihan tandas awam dan keindahan pejabat PBT.

Pesta Flora kali ini juga menampilkan dua acara baru iaitu klinik flora kelolaan Jabatan Pertanian Negeri Kelantan dan pertandingan bunga gantung.

Perasmian penutup pada 9 April akan dilakukan isteri Menteri Besar.

Sementara itu, pemenang keseluruhan Pesta Flora tahun ini iaitu Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) yang juga menjuarai pertandingan lanskap.

Johan pertandingan bunga khas disandang Majlis Daerah Tumpat.

Kategori keindahan pejabat - Majlis Daerah Ketereh, johan keindahan premis disandang Hotel Grand Riverview bagi kategori pasar raya - PKT Wholesale Warehouse.

Kategori premis makanan dimenangi restoran Four Season. Manakala johan pertandingan kebersihan dan keceriaan tandas awam disandang Tandas Awam Bandar Pasir Puteh. - Harakahdaily

Wednesday, March 26, 2008

Kelantan sokong diadakan semula pilihan raya PBT

Rizal Tahir
Tue | Mar 25, 08 | 4:32:11 pm MYT

KOTA BHARU, 25 Mac (Hrkh) - Kelantan menyokong penuh cadangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mendapatkan pandangan orang ramai mengenai cadangan mengadakan semula pilihan raya di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan bagaimanapun berkata, untuk menjayakan hasrat tersebut ia mempunyai beberapa syarat tertentu.

Antara syarat tersebut iaitu komposisi kaum perlu ditentukan sebagai usaha menjaga kebajikan dan keselesaan pelbagai etnik yang menghuni di kawasan PBT.

"Misalnya dalam satu majlis daerah pembahagian mengikut kaum perlu. Selain itu mengikut profesion seseorang ahli majlis sebagaimana yang dipraktik di Kelantan.

"Sebab itu sekarang di bawah PBT kita ada 24 orang ahli majlis di mana ada yang mewakili profesion tertentu, kaum, persatuan-persatuan badan bukan kerajaan dan sebagainya," ujar beliau.

Beliau ditemui selepas mengadakan mesyuarat pertama dengan kakitangan Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) setelah dilantik menerajui portfolio pelancongan dan kebudayaan, di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah TIC, Mohd Arif Mohd Nor serta kakitangannya.

Hari ini akhbar melaporkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ong Ka Chuan berkata, kerajaan akan mendapatkan pandangan orang ramai mengenai cadangan mengadakan pilihan raya peringkat PBT, yang pernah dilakukan 40 tahun lalu.

Takiyuddin berkata, kuota mengikut calon yang profesional juga harus ditentukan mengikut kemahiran seseorang ahli majlis PBT.

"Tidak timbul soal bukan Melayu akan menguasai PBT memandangkan golongan berkenaan lebih ramai tinggal di kawasan pusat bandar.

"Kita kena ada terma rujukan atau pun garis panduan untuk tujuan itu bagi melahirkan ahli PBT yang bersih dan adil," ujarnya.

Oleh itu katanya, Kelantan bersedia bekerjasama melaksanakan cadangan tersebut memandangkan negeri ini juga disenaraikan sebagai ahli dalam Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan.

"Jadi kita boleh mengutarakan idea untuk dibincangkan bersama agar perkara itu dapat dijayakan sebagaimana yang dicetus semula kerajaan.

"Kita pun tak nak juga satu bandar hanya dikuasai satu kaum sahaja, kita memang setuju pada dasarnya diadakan pilihan raya PBT, sebabnya orang yang dipilih itu benar-benar komited dengan tugasnya," kata beliau.

Malah katanya, mereka yang tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik, pastinya akan tewas dalam pilihan raya PBT yang diadakan.

Takiyuddin sebelum ini pernah membuat kenyataan supaya diadakan pilihan raya di peringkat PBT bagi melahirkan ahli PBT yang benar-benar komited dengan tugas diamanahkan.