Wednesday, March 19, 2008

Kelantan umum portfolio exco kerajan negeri

19-03-2008 04:55:18 PM

KOTA BAHARU: Kerajaan Negeri Kelantan hari ini mengumumkan portfolio 11 anggota Exco kerajaan negeri yang baru, tiga daripada muka baru, selepas PAS berjaya membentuk kerajaan negeri buat penggal kelima pada pilihan raya umum baru-baru ini.

Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yaacob ketika mengumumkan senarai itu berkata kerajaan negeri mengekalkan 11 portfolio seperti penggal yang lepas namun terdapat beberapa perubahan daripada segi nama portfolio.

Katanya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku Menteri Besar Kelantan, memegang portfolio Tanah, Perhutanan dan Sumber Asli manakala Timbalan Menteri Besar bertanggungjawab terhadap Pentadbiran Awam, Pembangunan Tanah dan Wilayah.

"Portfolio Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan yang sebelum ini dikenali sebagai Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat dipegang Datuk Husam Musa.

"Manakala Datuk Anuar Tan yang sebelum ini bertanggungjawab terhadap jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Perpaduan Masyarakat bertukar portfolio kepada jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Perdagangan dan Pepaduan Masyarakat," katanya pada sidang akhbar di sini, pada hari Rabu.

Beliau berkata sektor pelancongan kini dimasukkan bersama Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan yang dipegang oleh Datuk Takiyuddin Hassan.

Nik Mohd Amar Nik Abdullah yang sebelum ini memegang portfolio Penerangan, Pendidikan, Sains dan Teknologi berubah kepada Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah menggantikan Hassan Mahmood yang sebelum ini merupakan Exco bagi jawatankuasa Pembangunan Islam dan Dakwah.

Mejar (B) Md Anizam Abd Rahman masih mengekalkan portfolionya sebelum ini iaitu Perumahan, Kerja Raya, Utiliti dan Alam Sekitar yang sebelum ini dikenali sebagai Kerja Raya, Infrastruktur dan Alam Sekitar.

Bagi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO pula dipegang oleh Abdul Fattah Mahmood yang sebelum ini memegang portfolio Pembangunan Wanita, Belia dan Sukan.

Tiga muka baru yang dilantik sebagai Exco iaitu Dr Mohd Fadhli Datuk Hassan memegang portfolio Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi.

Ini diikuti Che Abdullah Mat Nawi yang memegang porfolio Pertanian, Industri Desa dan Bioteknolgi menggantikan Dr Nik Mazian Nik Mohamed yang digugurkan daripada senarai Exco kerajaan negeri kali ini.

Sementara satusatunya Exco wanita, Wan Ubaidah Omar yang menang tanpa bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijang diberi tanggungjawab memegang portfolio Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan.

Ketika mengulas senarai Exco yang diamanahkan memegang portfolio masingmasing, Ahmad berkata beliau yakin barisan yang dilantik kali ini mampu memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat.

"Kita percaya dengan perancangan yang baik dari semua Exco di samping kerjasama yang baik dengan kakitangan kerajaan, segala pembangunan di Kelantan akan berjalan secara terancang," katanya. BERNAMA