Sunday, April 6, 2008

PBT disaran tingkatkan usaha tarik pelancong

Atiff Idris
Sun | Apr 06, 08 | 7:09:16 pm MYT

PASIR MAS, 6 April - Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) disaran meningkatkan usaha bagi menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke negeri ini sempena Tahun Melawat Kelantan 2008.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Dato' Takiyuddin Hassan berkata, tumpuan turut diberi kepada PBT yang terletak di kawasan pintu masuk ke Kelantan terutamanya Pengkalan Kubur dan Rantau Panjang.

Selain itu katanya, tempat rekreasi yang menjadi tumpuan sebelum ini akan dinaiktaraf antaranya Gunung Stong di Dabong, Kuala Krai.

"Kerajaan negeri juga akan membina homestay di Kampung La, Machang dan beberapa tempat lagi termasuk di Jeli yang tersohor dengan pusat rekreasi kolam air panas.

"Dalam masa terdekat ini juga kita akan menjemput pengusaha-pengusaha hotel untuk diberi taklimat mempromosikan pakej pelancongan yang akan diperkenalkan," katanya pada perasmian Pertandingan Seni Suara Burung Ketitir (Merbok) Antarabangsa Kelantan 2008, di Lubok Jong, baru-baru ini.

Acara tahunan itu diadakan sempena ulangtahun keputeraan Sultan Kelantan kali ke-58 bermula 30 Mac lalu.

Takiyuddin juga berkata, kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan penggiat seni untuk mewujudkan "bulan kesenian" yang bakal diisi dengan pelbagai acara kesenian.

Katanya, ia membabitkan pertandingan bermula di peringkat daerah, negeri, negara dan antarabangsa.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Pertandingan Seni Suara Burung Ketitir (Merbok) Antarabangsa Kelantan berkata, acara tersebut merupakan produk pelancongan penting di Kelantan.

"Pertambahan bilangan peserta kepada 2,000 orang tahun ini membuktikan aktiviti pemeliharaan burung masih diminati ramai. Peserta luar negara termasuk dari Thailand, Indonesia dan Singapura," ujarnya.

Acara dipertandingkan iaitu kategori burung ketitir, tekukur, candik, tiong, ayam serama dan murai batu yang baru diperkenalkan.

Pada majlis itu, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra menganugerahkan hadiah-hadiah kepada setiap pemenang.

Pemenang cabutan bertuah bonanza yang menawarkan Proton Saga Aeroback 1.3L dimenangi Wan Mohamad Yusuff, 46 dari Kota Bharu yang juga peserta pertandingan ketitir.

Hadir sama Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra, Timbalan Menteri Besar, Dato' Ahmad Yakob dan anggota-anggota Exco.

Selain itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mohd Aiseri Alias, Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Shkori Mohamed dan pegawai kanan kerajaan. - Harakahdaily.net

2 comments:

ZULKIFLI BIN CHE NOH said...

Assalamualaikum w.b.t.
Dato' ..
-( )-
Baru2 ni saya ada mengunjungi sebuah laman forum, salah seorang daripada mereka telah mencadangkan satu tajuk yang sangat menarik iaitu pandangan mengenai tahap kebersihan di Kelantan. Secara keseluruhannya, majoriti panel forum itu bersetuju tahap kebersihan di bandar2 di negeri Kelantan masih ditahap yang rendah. Hasil daripada forum tersebut telah dimuat turunkan dan diserah kepada Exco Kerajaan Kelantan sebagai memorendum.
-( )-
Kerajaan negeri baru2 ini seolah2 menyatakan kekesalannya kerana gagal mendidik rakyat terutama warga kota untuk menjiwai budaya bersih. ‘Kempen Jumpa Sampah Kutip’ seolah2 tak berbekas di hati rakyat. Namun, pihak kerajaan negeri tak seharusnya berputus asa dalam merealisasikan salah satu dari 5 tonggak Bandaraya Islam iaitu kebersihan. Kajian demi kajian mencari pendekatan baru yang lebih efektif perlu dicari dengan segera. Sudah lama imej Bandaraya Islam seolah- olah tercemar dek kerana isu kebersihan.
-( )-
Sememangnya saya tak senang duduk bila keadaan ini seolah- olah tidak diambil ‘concern’ oleh pihak MPKBBRI. Sebagai seorang pengembara, saya mengimpikan seten bas Kota Bharu sebersih Melaka Sentral. Pasar dan kedai makan di Kota Bharu seelok R&R Ipoh Utara, tandas awam se-eksklusif di Dataran Shahbandar, Terengganu.. Tetapi sampai sekarang saya isu ini tak mampu saya jawab jika ada orang luar hujahkan. Saya hanya mampu tunduk dan membisu. Malu.
-( )-
Saya pernah mencadangkan kepada pihak MPKBBRI melalui sistem aduannya, bahawa untuk mengatasi masalah ini kita perlu menswastakan kerja2 pembersihan dan penceriaan bandar kepada kontraktor swasta. Hal yang serupa dilakukan dan terbukti berjaya di tempat2 yang saya sebutkan tadi. Dan bukannya hanya menggaji seorang makcik tua yang menyapu sampah umpama melepaskan batuk di tangga. Nampak gayanya sampai bila pun Kota Bharu takkan bersih. Memastikan kawasan sentiasa dalam keadaan sangat bersih secara tak langsung mewujudkan rasa segan masyarakat untuk membuang sampah.
-( )-
Saya sangat bersetuju kepada satu kaedah yang dicadangkan oleh George L. Kelling dan Catherine Coles dalam bukunya a criminology and urban sociology yang diterbitkan pada 1996. Mereka mencadangkan suatu kaedah yang terbukti sangat berkesan menurunkan kadar jenayah vandalisme dan kebersihan seperti mana dipraktikkan juga di negara Jepun, Amerika dan beberapa Negara maju yang lain. Fixing Broken Windows Theory atau teori tingkap pecah ini menggunakan suatu konsep yang sangat mudah tetapi sangat berkesan. Sebagai contoh, Sesuatu kawasan yang kotor jika dibersihkan dengan baik, secara konsisten akan menyebabkan timbul rasa segan secara beransur2 dan seterusnya fenomena membuang sampah di kawasan itu akan terhenti.
-( )-
Sebaliknya apa yang berlaku di tempat kita, proses pembersihan kawasan tak dilakukan dengan sempurna, jadi masyarakat akan rasa tak bersalah walau sekelumit untuk membuang sampah kerana menganggap kawasan itu memang kotor. Malah sekeliling tong sampah yang kotor juga mempengaruhi masyarakat membuang sampah di luar tong. Betul tak?
-( )-
Oleh itu, saya berpendapat, kaedah kempen psikologi ini lebih berkesan daripada denda dan paksaan yang membuahkan manusia yang takutkan denda bukannya cintakan kebersihan.
Qard jr;
‘Kebersihan sebahagian dari kesempurnaan Iman’

Wan Lukman B Wan Salleh said...

Assalamualaikum Dato,
Saya adalah seorang peniaga kecil yang berniaga di Bandar Kota Bharu dan telah menghadiri majlis perasmian Bazaar tengku Anis pada 31/6/2008 yang dirasmikan oleh Tengku Amalin Aishah Putri.
Apa yeng mengejutkan kami para hadirin yang sebilangan kecil peniaga kecil ialah pengumuman Dato tentang pembelian tingkat 1 Bazaar Tengku Anis oleh MPKB-BRI sebanyak RM 14 juta sebagai penempatan pemindahan peniaga Pasar Lama MPKB dan Arked UDA.
Benarkah seperti yang dinyatakan oleh Dato pembelian tersebut untuk membantu kami para peniaga kecil atau membantu pemaju Sensa Timur mengaut untung hasil dari poenjualan tingkat 1 yang ternyata selama ini tidak menarik minat pembeli.Logikkah kami para peniaga kecil ditempatkan di tingkat 1 dengan keluasan 5" X 7"? Ruang yang kecil tambahan pula di tingkat 1,apakah akan maju perniagaan kami? Berbaloikah MPKB-BRI membeli dengan harga jutaan ringgit duit rakyat yang membayar cukai sedangkan pemaju akan mengaut keuntungan sekelip mata?
Bagaimana pula dengan janji oleh Kerajaan Negeri melalui PMBK yang telah menandatangani MOU untuk membina bazaar di tapak balai polis sekarang?Apakah ianya sekadar janji pilihanraya memandangkan ianya dilakukan menjelang PRU12? Apakah kehadiran Tok Guru MB merasmikan majlis tersebut sekadar gula2 pilihanraya?
Janganlah kami peniaga kecil bumiputera dianggap sebagai beban kerajaan.Layanlah kami sebagai manusia ,penyokong kerajaan dan marhain yang perlukan pembelaan seikhlas hati.Kami bukanlah warganegara kelas 3 yang boleh ditendang ke mana saja.
Kami berharap agar setiap perancangan untuk masa depan perniagaan dirunding dulu dengan persatuan kami,bukannya dimaklumkan setelah keputusan dibuat keranja yang menanggung risikonya adalah kami,bukannya kakitangan kerajaan ( MPKB-BRI) ataupun ahli politik 5 tahun sekali.
Apa yang nyata kami tidak bersetuju dengan cadangan MPKB-BRI untuk memindahkan kami ke sana dan kami tetap menuntut janji PMBK untuk menempatkan kami di tapak balai polis.Harapan kami janganlah ada pihak yang mengambil hati atau berdendam dengan kami peniaga kecil kerana ketidaksetujuan kami ini.Jalan perundingan masih terbuka dan keperihatinan oleh Kerajaan Pas Kelantan amat kami sanjungi.

Sekian,terima kasih