Saturday, July 14, 2007

Guna teknologi tingkatkan seni tradisi

Bunut Payong 14 Julai - Penduduk Kelantan khususnya para belia perlu mengambil peluang untuk meningkatkan hasil dari seni warisan tradisi dengan menggunakan teknologi terkini.
ADUN Bunut Payong, Dato' Haji Takiyuddin Haji Hassan berharap para belia tidak sahaja meningkatkan minat terhadap seni tradisi malah perlu melakukan pelbagai inovasi bagi mengambil manfaat daripada aktiviti ini.
"Permainan wau di Kelantan begitu unik dan mampu dikembangkan di peringkat nasional dan antarabangsa jika teknologi baru dimanipulasi sepenuhnya," kata beliau di majlis melepaskan wau gergasi ciptaan belia kampung Ijok petang ini.
Beliau yang merasmikan pelepasan itu berharap banyak lagi idea-idea baru dikembangkan supaya manfaat yang lebih menyeluruh diperolehi semua lapisan masyarakat.

Sunday, July 8, 2007

Umno Kelantan terdesak

PAS Mendahului Umno dalam melaksanakan tuntutan rakyat

KOTA BHARU: Umno Kelantan kini se­makin terdesak dengan cuba mencari kelemahan pimpinan kerajaan negeri untuk menarik perhatian rakyat sedang­kan apa yang dibangkitkan mereka itu tidak relevan.
Tindakan pembangkang daripada Barisan Nasional (BN) itu cuba menarik pandangan rakyat dengan isu seperti penolakan lima usul yang dikemukakan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan baru-baru ini sebenarnya menunjukkan kelemahannya kepada umum.
Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan, Dato' Takiyuddin Hassan, menegaskan apa yang dibangkitkan anggota pembangkang BN pada persi­dangan DUN Kelantan ke 11 baru-baru ini sebenarnya hanya untuk mencari kelemahan kerajaan negeri.
Beliau berkata,apa yang dibangkitkan pembangkang dari BN menerusi lima usul dikemukakan tidak relevan kerana apa yang dibangkitkan sudah dijawab pada persidangari DUN sebelum ini.
Malah, katanya, isu yang dibangkitkan pembangkang itu sebenarnya untuk tujuan rekod semakan dalam persidangan DUN kononnya pembangkang cuba mengetengahkan isu untuk kepentingan rakyat tetapi sebenamya mereka cuba mencari kelemahan kerajaan negeri serta menarik pandangan rakyat.
"Sebenamya isu yang dibang­kitkan pembangkang itu sudah kita jelaskan dalam Persidangan DUN sebelum ini tetapi nampaknya pimpinan Umno dan BN dari negeri ini cuba mencari kelemahan kerajaan negeri dengan meneruskan isu seperti itu.
"Banyak program yang kita jalankan termasuk Skim Kifaalah untuk warga emas berjaya me­nambat hati rakyat sehingga men­dahului pembangkang dari BN di negeri ini. Saya lihat mereka (Umno) cuba mengalih pandangan rakyat terhadap kemampuan kerajaan negeri," katanya kepada wakil Mingguan Wasilah.
Sebelum ini, Umno juga dilihat semakin tertekan dalam mengha­dapi Pas dalam Pilihanraya Umum ke 12, apabila menggunakan akhbar tempatan untuk diisi dan dimuatkan dengan kandungan berita berbentuk propaganda Umno.
Strategi politik yang dicanang­kan oleh Umno dalam pelbagai spekulasi dan provokasi terhadap kerajaan negeri di bawah pimpinan Pas dengan menggunakan bajet berjumlah besar dalam usaha untuk menawan negeri 'Serambi Mekah' ini.
Takiyuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, berkata, pembangkang dari BN sepatutnya membuktikan program yang baik untuk dilaksanakan di negeri-negeri yang dikuasai kerajaan BN.
Bagaimanapun, katanya, apabila kerajaan negeri melaksanakan program yang berkesan untuk kepentingan rak­yat di negeri ini, pimpinan pem­bangkang dari BN lebih banyak mengkritik sedangkan mereka sendiri tidak berbuat demikian.
Sebagai contoh, katanya, Skim Kifalah untuk warga emas berumur 60 tahun ke atas dijadikan isu oleh BN kerana kerajaan negeri pim­pinan Pas mendahului pembang­kang dalam melaksanakan skim itu kepada rakyat di negeri ini.
Katanya, begitu juga, dengan kemampuan yang ada, kerajaan negeri mempertingkatkan perkhid­matan bekalan air bersih menerusi Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB) dengan menaiktaraf loji air di negeri ini.
"Malah, pelbagai program dilaksanakan kerajaan negeri dalam meningkatkan kehidupan rakyat negeri ini dan hasilnya rahyat dapat menilai keberkesanan pelaksanaan projek yang dijalankan di negeri sejak 17 tahun mentadbir Kelantan," katanya. - Mingguan Wasilah

Thursday, July 5, 2007

Budaya cinta ilmu berkembang subur di Kelantan

Kota Bharu, 5 Julai - Persekitaran harmoni di bawah pentadbiran Islam di Kelantan terus menjadikan budaya cintakan ilmu pengetahuan berkembang subur.

"Kalau di negeri-negeri lain bila kesesakan berlaku di sesuatu tempat kita akan dapati manusia berkumpul untuk melakukan perkara negatif seperti program konsert atau kelab malam tapi di sini kalau nampak sesak jalan waktu malam kita dapati ibu bapa sedang menunggu anak-anak belajar tambahan," kata anggota Exco kerajaan negeri, Dato' Haji Takiyuddin Haji Hassan.

Menurut beliau, melalui dasar Islam yang memberi galakan kepada usaha positif terutama menuntut ilmu rakyat Kelantan terus mendahului negeri-negeri lain dalam melahirkan cerdik pandai dalam segala bidang.

"Kita bersyukur kerana walaupun dinafikan pelbagai kemudahan berbanding negeri-negeri lain, kita masih mampu melahirkan pelajar cemerlang untuk dihantar ke pusat-pusat pengajian tinggi seluruh dunia setiap tahun.

"Lebih membanggakan apabila tahun lepas, seorang pelajar kita (Fatimah Mokhtar) mendapat keputusan terbaik seluruh negara apabila beliau berjaya mendapat 18A dalam pepriksaan SPM," ujar beliau.

Rakyat Kelantan menurut beliau memang terkenal amat cintakan ilmu pengetahuan hingga semua pusat pengajian di dalam dan luar negara terdapat begitu ramai pelajar Kelantan.

Beliau turut mengimbau pengakuan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri ketika menjadi perdana menteri apabila Tun melahirkan rasa sunyi kerana beliau yang berasal dari Kedah mendapati majoriti pegawai di Putrajaya berasal dari Kelantan.

"Kerana mereka ini memiliki ilmu maka mereka dapat menduduki jawatan penting di semua peringkat termasuk di pejabat perdana menteri sendiri," kata Dato' Takiyddin lagi ketika menyampaikan ucapan di majlis meraikan pelajar-pelajar yang melanjutkan pegajian ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) petang ini.

Majlis untuk peringkat Dewan Undangan Negeri Bunut Payong itu diadakan di kediaman rasmi Meneteri Besar, JKR 10.

Seramai 200 pelajar mendapat sumbangan wang tunai manakala 58 pelajar cemerlang menerima saguhati khas yang disampaikan Dato' Takiyuddin dan Datin Hariza Haji Yusoff.

Wednesday, July 4, 2007

Pasar KB Uptown direstui

Oleh RADZUAN HASSAN

radzuan@kosmo.com.my

KOTA BHARU, 4 Julai - Kerajaan negeri ti­dak ada sebarang masalah berhubung operasi KB Uptown di sini walaupun ia ditangguhkan buat seketika disebab­kan masalah teknikal baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Ke­rajaan Tempatan, Perumahan dan Ke­sihatan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, jika penganjur pasar tengah malam itu masih mahu me­neruskan hasratnya mereka boleh berbuat demikian.

Bagaimanapun beliau mengakui ada masalah teknikal dengan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) menjadi punca pe­lancarannya ditunda baru-baru ini te­tapi dia yakin ia diluluskan sekiranya memenuhi kriteria yang ditetapkan.

"Terpulang kepada mereka(pe­nganjur). Sekiranya mahu KB Uptown kita tidak ada masalah dan saya se­cara peribadi setuju kerana saya sen­diri dulu lihat Kuantan Uptown ada potensi di sini.

"Tapi saya bimbang mereka (pe­nganjur) tidak kuat untuk bertahan kerana menguruskan tapak pernia­gaan bukan mudah," ujarnya kepada KOSMO! di sini baru-baruini.

Beliau berkata demikian mengulas status KB Uptown yang masih menjadi tanda tanya di kalangan orang ramai penduduk dibandar ini.

KBUptown sepatutnya bermula 15 Mei lalu tetapi ditangguhkan semula walaupun tapak gerai di lokasi asalnya di Jalan Syed Kadir dan sekitarnya sudah dicat oleh penganjur selain su­dah memasang kain pemidang di se­kitar negeri ini baru-baru ini.

Difahamkan, KB Uptown hanya mempunyai masalah birokrasi dengan MPKB-BRI dan bukan masalah dari segi logistik dan kemampuan ber­banding. pasar tengah malam di ne­geri-negeri lain.

Sebelum itu,akhbar ini melaporkan rungutan orang ramai termasuk pada peniaga yang berharap KB Uptown akan memeriahkan suasana malam di ibu negeri Kelantan tetapi telah ia ditangguhkan.

Gara-gara itu, penganjur Ohaifa Resources Sdn. Bhd. terpaksa memulangkan semula deposit kepada kira-kira 300 peniaga ekoran masalah yang timbul.

Pada perkembangan sama menurut Takiyuddin, antara punca penangguhan termasuk pertukaran lokasi dari Jalan Syed Kadir ke kawasan pasar malam di Jalan Pintu Pong.

Bagaimanapun, beliau yakin masalah birokrasi dan teknikal berhubung KB Uptown akan lesaikan dengan baik seterusnya menjadikan pasar tengah malam itu realiti di Kota Bharu tidak lama lagi

Friday, June 22, 2007

Kelantan usaha dapatkan kembali ufti ‘Bunga Emas’

Salmah Mat Husain
Fri | Jun 22, 07 | 06:57:14 PM

KOTA BHARU, 22 Jun (Hrkh) - Rakyat Kelantan mungkin akan dapat melihat ufti ‘Bunga Emas’ dari dekat, sekiranya usaha untuk mendapatkan semula ‘pohon pitis’ itu mendapat kerjasama kerajaan Thailand.

Ufti tersebut dihantar kerajaan Melayu Kelantan pada zaman sebelum kedatangan penjajah Inggeris sebagai ‘perlindungan’ di bawah naungan Siam.

Kisah mengenai ufti Bunga Emas banyak dimuatkan dalam buku-buku sejarah sekolah rendah dan menengah. Malah, logo pokok pitis digunakan sebagai lambang rasmi Bank Simpanan Nasional.

Namun, rupa sebenar ufti terbabit tidak dapat dilihat rakyat Kelantan. Oleh itu kerajaan negeri melalui Perbadanan Muzium Negeri akan berusaha mendapatkan semula ‘Bunga Emas’ yang pernah dijadikan ufti kepada kerajaan Siam yang kini berada di Muzium Bangkok.

Pengerusi Perbadanan Muzium Negeri, Dato’ Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan negeri akan berunding dengan Bangkok bagi membolehkan sebahagiannya dibawa semula ke Muzium Negeri.

“Walaupun permohonan rasmi berhubung perkara tersebut belum lagi dibuat, namun usaha ke arah itu sedang dijalankan. Kita sedang berusaha dan InsyaAllah, kita akan menyegerakan permohonan untuk mendapatkan sebahagian kepingan bunga emas tersebut.

“Saya juga difahamkan kerajaan Kedah sedang berbuat demikian dan kita juga sedang berusaha ke arah itu,” ujarnya kepada pemberita selepas merasmikan pameran Satu Perkampungan 10,000 tahun silam di Muzium Negeri semalam.

Pameran arkeologi tersebut yang ditemui di Lembah Nenggiri Hulu Kelantan.

Ketika berucap sebelum itu beliau memberitahu, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan mana-mana pengkaji sejarah yang ingin mencari bahan bersejarah di negeri ini.

Menurutnya, ia amat perlu untuk dijadikan tatapan masyarakat sama ada ada individu, pelajar atau golongan intelek.

Jelas beliau kebesaran Allah dapat dibuktikan dengan penemuan bahan berkenaan, di mana masyarakat sekarang dapat mengetahui pemikiran yang Allah berikan kepada manusia menerusi pencapaian tamadun.

Pameran tersebut berlangsung selama sebulan bermula 20 Jun hingga 19 Julai depan bertempat di Muzium Negeri Kelantan. Ia diadakan secara percuma.

Artifak yang dipamerkan merupakan peralatan yang digunakan masyarakat kuno kira-kira 10,000 tahun lampau. Ia ditemui di beberapa buah gua di Nenggiri Gua Musang antaranya Gua Cha dan Gua Cawasi.

Bahan yang dipamerkan termasuk kerangka mayat, peralatan senjata yang dibuat daripada batu dan tembikar.

Thursday, June 7, 2007

60 peserta berkanu tamatkan ekspedisi Dabong - Kota Bharu

Kota Bharu - Seramai 60 peserta melibatkan ahli Kelab Kakitangan dan Rakan Belia Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) berkano selama tiga hari menyusur Sungai Kelantan bermula 4 hingga 6 Jun lalu.

Kumpulan itu bertolak dari Dabong, Kuala Krai kira-kira jam 7 pagi pada 5 Jun dan tiba di Tambatan Diraja Kota Bharu pada jam 5 petang keesokan harinya.

Sepanjang aktiviti itu, kumpulan berkenaan berehat di Batu Mengkebang dan Kemubu, Kuala Krai sebelum meneruskan perjalanan ke Kota Bharu dan disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dato' Haji Takiyuddin Hassan.

Berkano merupakan acara tahunan Kelab Kakitangan dan Rakan Belia MPKB-BRI bagi meningkatkan semangat kesukanan dalam kalangan ahli, selain memberi peluang kepada peserta menikmatik keindahan alam semula jadi di sepanjang Sungai Kelantan.




Dato' Haji Takiyuddin Hassan menyambut ketibaan Ketua Polis Daerah Kota Bharu
















Bertanya khabar peserta yang baru saja menamatkan ekspidisi



















Menyambut ketibaan peserta di tebing sungai berhampiran Tambatan Diraja
















"Aktiviti lasak amat penting kepada golongan remaja dan belia dalam usaha merasai sendiri pelbagai pengalaman dalam mengharungi rintangan," kata beliau dalam ucapan ringkas sebelum menyampaikan cenderahati kepada peserta.














Peserta diraikan dengan pelbagai hadiah dan sijil penyertaan



















Merasai hidangan istimewa dari dapur orang Kota Bharu Bandar Raya Islam


















Kenangan yang sukar dilupakan. Para peserta bersorak gembira selepas sesi bergambar

Tuesday, June 5, 2007

BIODATA

YB DATO’ HAJI TAKIYUDIN BIN HAJI HASSAN, J.P.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Kelantan dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat

Dato’ Haji Takiyudin bin Haji Hassan dilahirkan pada tanggal 24 November 1961 di kampung Kemelong, Sik, Kedah. Selepas menamatkan persekolahan di peringkat rendah, beliau mengikuti pengajian peringkat menengah di Kolej Islam Kelang (sekarang Kolej Sultan Salahuddin Shah – KISAS) dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya pada tahun 1982 sehingga mendapat ijazah Sarjana Muda Undang- undang.

Sebaik memperolehi ijazah dalam bidang perundangan beliau mula bertugas sebagai majistret di Pasir Mas, Kelantan. Pada tahun 1990, Dato’ Haji Takiyudin membuka firma guamannya sendiri di Kota Bharu. Beliau telah mendirikan rumahtangga dengan Datin Hariza bt Yusoff, seorang pendidik dan dianugerahkan 5 orang cahaya mata.

Mula menyertai Parti Islam SeMalaysia (PAS) pada tahun 1989. Di antara jawatan dalam parti yang pernah disandangnya ialah Ketua Pemuda PAS Negeri Kelantan (1999), Ketua Penerangan PAS Negeri Kelantan (2003 hingga 2004) dan sekarang diamanahkan sebagai Setiausaha Badan Perhubungan PAS negeri Kelantan. Pada muktamar PAS ke 53 di PUTIK baru-baru ini beliau dipilh sebagai ahli jawatankuasa kerja PAS Pusat..

Seorang yang peramah dan mudah didekati serta aktif dalam sukan terutama bolasepak. Pernah menjawat jawatan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dari 1996 hingga 1998 dan juga Exco Persekutuan Bolasepak Malaysia (FAM) dari 1997 hingga 1998. Kini merupakan presiden Persatuan Bolasepak Melayu Kelantan (PBMK). Selain dari bolasepak, beliau juga terlibat aktif dalam bidang sukan yang lain dengan menjadi ahli Persatuan Menembak Kelantan dan ahli Kelantan Golf & Country Club (KGCC).

Keterlibatan beliau dalam dalam aktiviti masyarakat masyarakat tidak saja terbatas dalam dunia sukan, malah semasa menuntut di universiti lagi beliau bergiat cergas dalam pelbagai kegiatan pelajar dan pernah menjadi Presiden Mahasiswa Universiti Malaya dari 1983 hingga 1984.

Beliau memenngi dua kali pilihan raya umum bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Bunut Payung pada 1995 dan 2004 atas tiket PAS. Sekarang YB Dato’ Hj Takiyudin diamanahkan pula oleh kepimpinan PAS negeri Kelantan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan. Satu portfolio dan bidang tugas yang berat dan mencabar.

Seorang seorang yang berpengalaman dalam bidang undang- undang beliau dilihat memainkan peranan utama dalam memberikan khidmat nasihat guaman kepada PAS dan kerajaan negeri Kelantan. Banyak hal- hal yang berkaitan dengan kes- kes mahkamah yang melibatkan parti dan kerajaan negeri berjaya diselesaikan seperti kes petisyen pilihan raya 2004 yang sebelumnya kelihatan amat rumit dan membimbangkan banyak pihak.