| Rizal Tahir Tue | Mar 25, 08 | 4:32:11 pm MYT | |
KOTA BHARU, 25 Mac (Hrkh) - Kelantan menyokong penuh cadangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mendapatkan pandangan orang ramai mengenai cadangan mengadakan semula pilihan raya di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT). Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan bagaimanapun berkata, untuk menjayakan hasrat tersebut ia mempunyai beberapa syarat tertentu. Antara syarat tersebut iaitu komposisi kaum perlu ditentukan sebagai usaha menjaga kebajikan dan keselesaan pelbagai etnik yang menghuni di kawasan PBT. "Misalnya dalam satu majlis daerah pembahagian mengikut kaum perlu. Selain itu mengikut profesion seseorang ahli majlis sebagaimana yang dipraktik di Kelantan. "Sebab itu sekarang di bawah PBT kita ada 24 orang ahli majlis di mana ada yang mewakili profesion tertentu, kaum, persatuan-persatuan badan bukan kerajaan dan sebagainya," ujar beliau. Beliau ditemui selepas mengadakan mesyuarat pertama dengan kakitangan Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) setelah dilantik menerajui portfolio pelancongan dan kebudayaan, di sini hari ini. Hadir sama Pengarah TIC, Mohd Arif Mohd Nor serta kakitangannya. Hari ini akhbar melaporkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ong Ka Chuan berkata, kerajaan akan mendapatkan pandangan orang ramai mengenai cadangan mengadakan pilihan raya peringkat PBT, yang pernah dilakukan 40 tahun lalu. Takiyuddin berkata, kuota mengikut calon yang profesional juga harus ditentukan mengikut kemahiran seseorang ahli majlis PBT. "Tidak timbul soal bukan Melayu akan menguasai PBT memandangkan golongan berkenaan lebih ramai tinggal di kawasan pusat bandar. "Kita kena ada terma rujukan atau pun garis panduan untuk tujuan itu bagi melahirkan ahli PBT yang bersih dan adil," ujarnya. Oleh itu katanya, Kelantan bersedia bekerjasama melaksanakan cadangan tersebut memandangkan negeri ini juga disenaraikan sebagai ahli dalam Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan. "Jadi kita boleh mengutarakan idea untuk dibincangkan bersama agar perkara itu dapat dijayakan sebagaimana yang dicetus semula kerajaan. "Kita pun tak nak juga satu bandar hanya dikuasai satu kaum sahaja, kita memang setuju pada dasarnya diadakan pilihan raya PBT, sebabnya orang yang dipilih itu benar-benar komited dengan tugasnya," kata beliau. Malah katanya, mereka yang tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik, pastinya akan tewas dalam pilihan raya PBT yang diadakan. Takiyuddin sebelum ini pernah membuat kenyataan supaya diadakan pilihan raya di peringkat PBT bagi melahirkan ahli PBT yang benar-benar komited dengan tugas diamanahkan. |
Wednesday, March 26, 2008
Kelantan sokong diadakan semula pilihan raya PBT
Wednesday, March 19, 2008
Kelantan umum portfolio exco kerajan negeri
KOTA BAHARU: Kerajaan Negeri Kelantan hari ini mengumumkan portfolio 11 anggota Exco kerajaan negeri yang baru, tiga daripada muka baru, selepas PAS berjaya membentuk kerajaan negeri buat penggal kelima pada pilihan raya umum baru-baru ini.
Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yaacob ketika mengumumkan senarai itu berkata kerajaan negeri mengekalkan 11 portfolio seperti penggal yang lepas namun terdapat beberapa perubahan daripada segi nama portfolio.
Katanya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku Menteri Besar Kelantan, memegang portfolio Tanah, Perhutanan dan Sumber Asli manakala Timbalan Menteri Besar bertanggungjawab terhadap Pentadbiran Awam, Pembangunan Tanah dan Wilayah.
"Portfolio Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan yang sebelum ini dikenali sebagai Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat dipegang Datuk Husam Musa.
"Manakala Datuk Anuar Tan yang sebelum ini bertanggungjawab terhadap jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Perpaduan Masyarakat bertukar portfolio kepada jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Perdagangan dan Pepaduan Masyarakat," katanya pada sidang akhbar di sini, pada hari Rabu.
Beliau berkata sektor pelancongan kini dimasukkan bersama Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan yang dipegang oleh Datuk Takiyuddin Hassan.
Nik Mohd Amar Nik Abdullah yang sebelum ini memegang portfolio Penerangan, Pendidikan, Sains dan Teknologi berubah kepada Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah menggantikan Hassan Mahmood yang sebelum ini merupakan Exco bagi jawatankuasa Pembangunan Islam dan Dakwah.
Mejar (B) Md Anizam Abd Rahman masih mengekalkan portfolionya sebelum ini iaitu Perumahan, Kerja Raya, Utiliti dan Alam Sekitar yang sebelum ini dikenali sebagai Kerja Raya, Infrastruktur dan Alam Sekitar.
Bagi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO pula dipegang oleh Abdul Fattah Mahmood yang sebelum ini memegang portfolio Pembangunan Wanita, Belia dan Sukan.
Tiga muka baru yang dilantik sebagai Exco iaitu Dr Mohd Fadhli Datuk Hassan memegang portfolio Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi.
Ini diikuti Che Abdullah Mat Nawi yang memegang porfolio Pertanian, Industri Desa dan Bioteknolgi menggantikan Dr Nik Mazian Nik Mohamed yang digugurkan daripada senarai Exco kerajaan negeri kali ini.
Sementara satusatunya Exco wanita, Wan Ubaidah Omar yang menang tanpa bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijang diberi tanggungjawab memegang portfolio Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan.
Ketika mengulas senarai Exco yang diamanahkan memegang portfolio masingmasing, Ahmad berkata beliau yakin barisan yang dilantik kali ini mampu memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat.
Friday, February 29, 2008
Markaz Bunut Payong gempur lawan dengan ‘meriam’
| Intan Abdullah Thu | Feb 28, 08 | 3:07:19 pm MYT | |
KOTA BHARU, 28 Feb (Hrkh) – Bersiap hadapi musuh, senjata sudah terhunus. Meriam sedia ditembak, pertahanan musuh perlu dirobek. Inilah situasi yang dapat digambarkan di Markaz Bunut Payong, Jalan Kuala Krai dekat sini. Markaz itu dikendalikan Skuad Pemuda Belia Bersatu hasil inisiatif Pemuda PAS Bunut Payong. Pengerusi Skuad Pemuda Bela Bersatu, Shukri Ibrahim berkata, markaz tersebut diwujudkan sebaik pembubaran parlimen diumumkan sebagai membangkitkan semangat pemuda bekerja dengan lebih gigih bagi mempertahankan kemenangan kerajaan PAS di Kelantan. "Idea mewujudkan markaz berkonsepkan kubu tentera perang ini sudah bermula sejak 1990 iaitu ketika pilihan raya umum ke-9. Kita memilih konsep tersebut dengan anggapan pilihan raya seumpama medan perang. “Dekorasi yang dibuat untuk mengingatkan semua pihak agar bersiap sedia dengan situasi tersebut," katanya ketika ditemui di markaz tersebut malam tadi. Replika tersebut menggambarkan meriam, kubu perang dan tentera yang menembak menggunakan senapang perang dalam kubu. Selain itu ada juga tentera yang menggunakan busur dan anak panah. Ada ketika kedengaran kesan bunyi seperti suasana peperangan sehingga menarik perhatian orang ramai yang melalui kawasan tersebut. Bahagian hadapan markaz dihiasi dengan sebuah meriam beserta peluru-pelurunya serta pelbagai kain rentang dihiasi lampu warna warni. Kenderaan yang melalui jalan tersebut bergerak perlahan untuk mencuri pandang keunikan reka bentuk markaz 'ala kem tentera' itu. Di situ juga terdapat kain rentang kempen undilah PAS berlatar belakang gambar pimpinan PAS. Terdapat juga tulisan 'kami pemuda mahukan kepimpinan ulama pada bahagian depan markaz tersebut’. Di bahagian dalam ‘kem’ tersebut juga dihiasi dengan pameran gambar beberapa aktiviti yang dijalankan skuad yang dilengkapi dengan kemudahan komputer, sistem audio canggih, penata bunyi dan kawasan lapang bagi memudahkan petugas berehat. Jadual tugasan disediakan di mana tiga petugas bertugas daripada jam 9 malam sehingga Subuh. Manakala petugas lain melaksanakan akviti memasang bendera, kain rentang dan menghadiri taklimat polling agent. Lebih menarik lagi markaz itu turut menyediakan makanan, risalah bagi pengunjung yang singgah bagi mendengar ceramah yang dipasang melalui pemain VCD. Antara aktiviti yang dijalankan di pos tersebut termasuk solat hajat pada hari penamaan calon dan pembukaan pos serta taklimat urusan petugas-petugas pilihan raya. Shukri berkata, skuad tersebut dianggotai 250 pemuda termasuk di kalangan bukan Muslim turut bersama bekerja bagi mempertahankan kerajaan PAS Kelantan. Empat orang dilantik sebagai penasihat. "Kesemua replika yang dibina dibiayai sendiri anggota skuad. Dan setiap anggota yang bertugas berpakaian seragam. Tugas kami seperti Unit Amal," ujarnya. |
Sunday, January 27, 2008
PAS siap sedia perkasakan e-media bantu kempen pilihan raya
Wednesday, January 23, 2008
Kawasan dilanda banjir dapat perhatian khas pimpinan negeri
Kota Bharu - Kawasan yang dilanda banjir di sekitar bandar Kota Bharu mendapat perhatian khas apabila menerima lawatan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dato' Haji Takiyuddin Haji Hassan baru-baru ini.Beliau yang sempat melawat beberapa kampung di sekitar tebing sungai Kelantan berkata beberapa tindakan segera akan diambil bagi memastikan aktiviti masyarakat kembali pulih selepas dilanda bencana berkenaan hujung bulan lalu.
"Kita mendapati ada longkang dan jalan-jalan kecil yang belum dipulihkan sepenuhnya menyebabkan kawasan-kawasan tertentu masih menghadapi masalah," kata beliau selepas menziarahi beberapa keluarga yang daif dan kurang bernasib baik.

Tinjauan beliau meliputi kawasan-kawasan yang didiami penduduk padat dan kawasan yang menjalankan aktiviti ekonomi kecil-kecilan seperti industri batik dan penternakan.
"Pihak kerajaan negeri akan segera membantu penduduk yang menghadapi masalah membetulkan semula kediaman seperti atap bocor atau masalah-malasah yang boleh diatasi segera," ujarya.
Orang ramai yang menyambut mesra Dato' Takiyuddin menganggap sikap prihatin dan cakno kepimpinan negeri memberi sinar kepada rakyat dalam meneruskan usaha membangunkan diri dan masyarakat.
Sunday, January 13, 2008
Pondok Islah Diri Baitul Taubah terima pelatih sukarela
Pondok Islah Diri Baitul Taubah dijangka menerima kumpulan pertama anak bina 16 Januari ini dan bakal dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan pada bulan Februari depan.
Monday, December 31, 2007
Selamatkan bumi dari golongan rakus lupakan akhirat
Seluruh dunia sedang menghadapi satu krisis besar kebelakangan ini. Perubahan cuaca yang tidak menentu dan kemunculan pelbagai penyakit yang sebahagiannya belum diemui kaedah perubatannya.
Tahun lalu dan baru-baru ini negara kita dilanda banjir besar. Banjir bukan luar biasa. Apa yang menegejutkan ialah kawasan yang dilanda banjir telah berubah dari kebiasaan. Sejak dahulu banjir musim tengkujuh hanya dikaitkan dengan kawasan pantai timur terutama di negeri kita Kelantan. Keadaan telah berubah apabila kawasan baru seperti Pahang, Johor, malah Selangor, Kedah dan Perlis kini lebih teruk dilanda bencana ini pada musim di mana keadaan ini lazimnya tidak berlaku di tempat berkenaan.
Di tempat kita keadaan turut berubah. Banjir boleh berlaku tanpa amaran. Selalunya banjir berlaku dengan dimulakan hujan lebat yang berlaku beberapa hari. Keadaan ini berbeza apabila banjir baru-baru ini, khususnya di Kota Bharu tiba-tiba berlaku dengan limpahan air sungai secara mengejut sedangkan hujan hampir tidak turun di kawasan kita. Keadaan ini menyebabkan mereka yang dilanda banjir berhadapan dengan keadaan tidak bersedia sama sekali. Sebagaimana kita semua alami, ini menyebabkan berlaku kerosakan yang agak besar kali ini walaupun skala banjir tidak begitu besar. Dan apa lebih memilukan kita, begitu ramai anak-anak dan rakan kita menjadi korban bencana banjir pada tahun ini.
Mungkin ada di antara kita yang belum menyedari apa kaitan ini semua dengan program kita pagi ini. Hari ini sekali lagi kita lancarkan program untuk mendidik orang ramai untuk menanam lebih banyak pokok. Kita namakan program penghijauan bumi. Program ini amat penting kerana masalah yang dihadapi oleh seluruh dunia sekarang ialah kawasan yang masih dilitupi tumbuhan semakin sempit. Kekurangan kawasan hijau merupakan satu petanda bencana yang manakutkan.
Menurut satu laporan, hampir setiap saat satu ekar hutan di dunia ini dimusnahkan dan setiap tahun sejumlah 74 ribu ekar hutan lenyap akibat aktiviti pembalakan, pertanian dan pembangunan. Keadaan ini menyebabkan berlaku fenomena-fenomena berkikut:
1.Atmosfera sekarang mengandungi sekitar 40 peratus lebihan karbon dioksida berbanding 1000 tahun lalu.
2. Purata paras laut meningkat dari 10 hingga 20 sentimeter (CM) sejak abad lepas – Di Malaysia para pengkaji alam sekitar menjangka bandar-bandar Klang, Miri dan Pekan akan tenggelam dalam jangka 50 tahun lagi jika fenomena ini berterusan.
3. Cuaca panas di kawasan habiatat haiwan meyebabkan kepupusan lebih sejuta spesis hidupan darat dalam tempoh 50 tahun yang lalu.
4. Belaku kekacauan dalam fenomena cuaca di mana sejak 1981 berlaku musim salji di bebrapa bahagian Afrika dan musim musim panas melampau di Eropah di mana pada tahun 2003, 29 dilaporkan mati akibat panas melampau manakala berpuluh-puluh ribu lagi dijangkiti pelbagai penyakit yang dikaitkan dengan cuaca panas.
5. Sejak 2005 pelbagai jenis taufan dan puting beliung yang dahulunya seperti Katrina, Rita, Wilma dan pelbagai nama lagi mengganas hingga ke kawasan yang begitu ramai di diami manusia. Dahulunya tufan-taufan ini hanya di kesan di kawasan lautan yang jauh dari kawasan yang di diami manusia.
Islam mengajar kita bahawa manusia adalah agen yang mampu melakukan perubahan.
Firman Allah,
”Telah berlaku kerosakan di lautan dan di daratan akibat perbuatan tangan manusia”
Setelah menyedari kerosakan yang telah berlaku kita perlu mengambil isiatif untuk memperbaiki keadaan. Hari ini kita sekali lagi akan memulakan langkah untuk megembalikan kehijauan bumi. Kita bersyukur kerana Allah memberi anugerah kepada kita kawasan bumi yang begitu mudah ditumbuhi dengan pelbagai jenis pokok-pokok. Kita perlu mengambil kesempatan ini untuk menjadikan setiap inci kawasan sekitar kita menjadi kawasan hijau. Tanamlah apa juga pokok boleh tumbuh subur walaupun dari segi jangka pendek tidak nampat sebarang hasil seperti buah-buahan atau untuk dijadikan hasil jualan. Pokok adalah pembekal oksigen dan membawa lemmbapan yang mampu menyejukkan persekitaran kita.
Sebagai sebuah negeri yang meletakkan Islam sebagai asas pentadbiran, pentabirandi bawah Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat akan terus memberi sokongan sepenuhnya kepada program seumpama ini.
Bagi pihak kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam, saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pihak yang turut sama menjayakan program penting ini.
Semoga usaha kecil kita ini memberi sumbangan ke arah mencari penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi umat manusia pada masa ini dan masa hadapan.
(Sedutan ucapan Dato' Haji Takyuddin Hassan di majlis pelancaran Program Penghijauan Bumi peringkat Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam di Taman Tengku Anis pada 30 Disember 2007)
