| Rizal Tahir Thu | Jul 19, 07 | 07:27:37 PM | |
| KOTA BHARU, 19 Julai (Hrkh) - Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat mengimamkan solat jenazah mangsa nahas pesawat Nuri, Sarjan Udara, Khusnizaim Ariffin, 34 di Masjid Bunut Payong, dekat sini petang ini. Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bunut Payong bersebelahan masjid tersebut dengan penuh adat istiadat ketenteraan. Kira-kira 300 penduduk tempatan termasuk pegawai dan anggota tentera menunaikan solat jenazah dalam suasana cukup pilu. Sebelum itu, Allahyarham disembahyangkan di rumahnya di Kampung Bunut Payong, sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra kira-kira jam 4 petang.
Jenazah wira negara itu kemudian disembahyang sekali lagi di Masjid Bunut Payong sebelum dikebumikan kira-kira jam 5.20 petang. Turut hadir Adun Bunut Payong yang juga anggota exco kerajaan negeri, Dato’ Takiyuddin Hassan, Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman, Ketua Polis Kelantan, Dato’ Abdul Rahim Hanafi dan Kol Haizir Lebai Yaakob. Lebih ramai penduduk dan anggota keluarga terdekat berada di tanah perkuburan mengiringi perjalanan terakhirnya. Sementara itu, Takiyuddin ketika ditemui berkata, kerajaan tidak seharusnya membuat keputusan menukar pesawat Nuri kerana faktor politik semata-mata. “Kerajaan sepatutnya terlebih dahulu mendapat pandangan pakar berhubung penggunaan pesawat Nuri sama ada ia sesuai digunakan lagi atau sebaliknya. “Jadi saya berharap kerajaan kalau buat keputusan hendak tukar pesawat baru jangan sekali-kali kerana tekanan politik, sebaliknya kerana keselamatan anggota tentera,” ujarnya. Beliau juga berkata, kerajaan negeri melalui Tabung Serambi Mekah bersedia memberi bantuan segera kepada isteri allahyarham dan keluarganya. Takiyuddin juga turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa terbabit dan berharap mereka bersabar di atas kejadian malang yang berlaku. Anggota Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub berkata, sepatutnya kerajaan menukar pesawat Nuri kepada yang baru sejak 10 tahun lalu. Katanya, isyarat supaya pesawat Nuri ditukar baru telah lama berlaku namun kerajaan seperti tidak berminat. |
Friday, July 20, 2007
MB imamkan solat jenazah Sarjan Udara Khusnizaim
Kelantan anjur seminar taranum peringkat antarabangsa
Program itu bakal dihadiri guru taranum tersohor antarabangsa termasuk Sheikh Fathi Hasan Maliji. Ia akan diadakan di Hotel Perdana.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Takiyuddin Hassan berkata, seramai 400 peserta dari dalam dan luar negara dijangka menyertai seminar yang julungkali diadakan.
Menurutnya, setakat ini 50 peserta telah menyatakan persetujuan untuk hadir termasuk dari Singapura, Thailand dan Indonesia.
Kertas kerja yang dijangka dibentang termasuk bertajuk Tarannum al-Quran Arabiah Misriah Muktabar. Selain itu, sidang pleno bakal menampilkan tokoh-tokoh agama tanah air seperti Dato’ Hassan Azahari di samping qari tempatan dan antarabangsa.
“Kita berharap mereka yang berminat dengan seni pengajian tarranum menyertai program ini,” ujarnya.
Menurutnya penganjuran seminar itu akan turut mempromosikan Kota Bharu sebagai sebuah Bandar Raya Islam kepada masyarakat di luar negara.Saturday, July 14, 2007
Guna teknologi tingkatkan seni tradisi
ADUN Bunut Payong, Dato' Haji Takiyuddin Haji Hassan berharap para belia tidak sahaja meningkatkan minat terhadap seni tradisi malah perlu melakukan pelbagai inovasi bagi mengambil manfaat daripada aktiviti ini.
"Permainan wau di Kelantan begitu unik dan mampu dikembangkan di peringkat nasional dan antarabangsa jika teknologi baru dimanipulasi sepenuhnya," kata beliau di majlis melepaskan wau gergasi ciptaan belia kampung Ijok petang ini.Beliau yang merasmikan pelepasan itu berharap banyak lagi idea-idea baru dikembangkan supaya manfaat yang lebih menyeluruh diperolehi semua lapisan masyarakat.
Sunday, July 8, 2007
Umno Kelantan terdesak
KOTA BHARU: Umno Kelantan kini semakin terdesak dengan cuba mencari kelemahan pimpinan kerajaan negeri untuk menarik perhatian rakyat sedangkan apa yang dibangkitkan mereka itu tidak relevan.Tindakan pembangkang daripada Barisan Nasional (BN) itu cuba menarik pandangan rakyat dengan isu seperti penolakan lima usul yang dikemukakan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan baru-baru ini sebenarnya menunjukkan kelemahannya kepada umum.
Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan, Dato' Takiyuddin Hassan, menegaskan apa yang dibangkitkan anggota pembangkang BN pada persidangan DUN Kelantan ke 11 baru-baru ini sebenarnya hanya untuk mencari kelemahan kerajaan negeri.
Beliau berkata,apa yang dibangkitkan pembangkang dari BN menerusi lima usul dikemukakan tidak relevan kerana apa yang dibangkitkan sudah dijawab pada persidangari DUN sebelum ini.
Malah, katanya, isu yang dibangkitkan pembangkang itu sebenarnya untuk tujuan rekod semakan dalam persidangan DUN kononnya pembangkang cuba mengetengahkan isu untuk kepentingan rakyat tetapi sebenamya mereka cuba mencari kelemahan kerajaan negeri serta menarik pandangan rakyat.
"Sebenamya isu yang dibangkitkan pembangkang itu sudah kita jelaskan dalam Persidangan DUN sebelum ini tetapi nampaknya pimpinan Umno dan BN dari negeri ini cuba mencari kelemahan kerajaan negeri dengan meneruskan isu seperti itu.
"Banyak program yang kita jalankan termasuk Skim Kifaalah untuk warga emas berjaya menambat hati rakyat sehingga mendahului pembangkang dari BN di negeri ini. Saya lihat mereka (Umno) cuba mengalih pandangan rakyat terhadap kemampuan kerajaan negeri," katanya kepada wakil Mingguan Wasilah.
Sebelum ini, Umno juga dilihat semakin tertekan dalam menghadapi Pas dalam Pilihanraya Umum ke 12, apabila menggunakan akhbar tempatan untuk diisi dan dimuatkan dengan kandungan berita berbentuk propaganda Umno.
Strategi politik yang dicanangkan oleh Umno dalam pelbagai spekulasi dan provokasi terhadap kerajaan negeri di bawah pimpinan Pas dengan menggunakan bajet berjumlah besar dalam usaha untuk menawan negeri 'Serambi Mekah' ini.
Takiyuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, berkata, pembangkang dari BN sepatutnya membuktikan program yang baik untuk dilaksanakan di negeri-negeri yang dikuasai kerajaan BN.
Bagaimanapun, katanya, apabila kerajaan negeri melaksanakan program yang berkesan untuk kepentingan rakyat di negeri ini, pimpinan pembangkang dari BN lebih banyak mengkritik sedangkan mereka sendiri tidak berbuat demikian.
Sebagai contoh, katanya, Skim Kifalah untuk warga emas berumur 60 tahun ke atas dijadikan isu oleh BN kerana kerajaan negeri pimpinan Pas mendahului pembangkang dalam melaksanakan skim itu kepada rakyat di negeri ini.
Katanya, begitu juga, dengan kemampuan yang ada, kerajaan negeri mempertingkatkan perkhidmatan bekalan air bersih menerusi Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB) dengan menaiktaraf loji air di negeri ini.
"Malah, pelbagai program dilaksanakan kerajaan negeri dalam meningkatkan kehidupan rakyat negeri ini dan hasilnya rahyat dapat menilai keberkesanan pelaksanaan projek yang dijalankan di negeri sejak 17 tahun mentadbir Kelantan," katanya. - Mingguan Wasilah
Thursday, July 5, 2007
Budaya cinta ilmu berkembang subur di Kelantan
"Kalau di negeri-negeri lain bila kesesakan berlaku di sesuatu tempat kita akan dapati manusia berkumpul untuk melakukan perkara negatif seperti program konsert atau kelab malam tapi di sini kalau nampak sesak jalan waktu malam kita dapati ibu bapa sedang menunggu anak-anak belajar tambahan," kata anggota Exco kerajaan negeri, Dato' Haji Takiyuddin Haji Hassan.
Menurut beliau, melalui dasar Islam yang memberi galakan kepada usaha positif terutama menuntut ilmu rakyat Kelantan terus mendahului negeri-negeri lain dalam melahirkan cerdik pandai dalam segala bidang."Kita bersyukur kerana walaupun dinafikan pelbagai kemudahan berbanding negeri-negeri lain, kita masih mampu melahirkan pelajar cemerlang untuk dihantar ke pusat-pusat pengajian tinggi seluruh dunia setiap tahun.
"Lebih membanggakan apabila tahun lepas, seorang pelajar kita (Fatimah Mokhtar) mendapat keputusan terbaik seluruh negara apabila beliau berjaya mendapat 18A dalam pepriksaan SPM," ujar beliau.
Rakyat Kelantan menurut beliau memang terkenal amat cintakan ilmu pengetahuan hingga semua pusat pengajian di dalam dan luar negara terdapat begitu ramai pelajar Kelantan.
Beliau turut mengimbau pengakuan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri ketika menjadi perdana menteri apabila Tun melahirkan rasa sunyi kerana beliau yang berasal dari Kedah mendapati majoriti pegawai di Putrajaya berasal dari Kelantan.
"Kerana mereka ini memiliki ilmu maka mereka dapat menduduki jawatan penting di semua peringkat termasuk di pejabat perdana menteri sendiri," kata Dato' Takiyddin lagi ketika menyampaikan ucapan di majlis meraikan pelajar-pelajar yang melanjutkan pegajian ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) petang ini.
Majlis untuk peringkat Dewan Undangan Negeri Bunut Payong itu diadakan di kediaman rasmi Meneteri Besar, JKR 10.
Seramai 200 pelajar mendapat sumbangan wang tunai manakala 58 pelajar cemerlang menerima saguhati khas yang disampaikan Dato' Takiyuddin dan Datin Hariza Haji Yusoff.
Wednesday, July 4, 2007
Pasar KB Uptown direstui
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, jika penganjur pasar tengah malam itu masih mahu meneruskan hasratnya mereka boleh berbuat demikian.
Bagaimanapun beliau mengakui ada masalah teknikal dengan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) menjadi punca pelancarannya ditunda baru-baru ini tetapi dia yakin ia diluluskan sekiranya memenuhi kriteria yang ditetapkan.
"Terpulang kepada mereka(penganjur). Sekiranya mahu KB Uptown kita tidak ada masalah dan saya secara peribadi setuju kerana saya sendiri dulu lihat Kuantan Uptown ada potensi di sini.
"Tapi saya bimbang mereka (penganjur) tidak kuat untuk bertahan kerana menguruskan tapak perniagaan bukan mudah," ujarnya kepada KOSMO! di sini baru-baruini.
Beliau berkata demikian mengulas status KB Uptown yang masih menjadi tanda tanya di kalangan orang ramai penduduk dibandar ini.
KBUptown sepatutnya bermula 15 Mei lalu tetapi ditangguhkan semula walaupun tapak gerai di lokasi asalnya di Jalan Syed Kadir dan sekitarnya sudah dicat oleh penganjur selain sudah memasang kain pemidang di sekitar negeri ini baru-baru ini.
Difahamkan, KB Uptown hanya mempunyai masalah birokrasi dengan MPKB-BRI dan bukan masalah dari segi logistik dan kemampuan berbanding. pasar tengah malam di negeri-negeri lain.
Sebelum itu,akhbar ini melaporkan rungutan orang ramai termasuk pada peniaga yang berharap KB Uptown akan memeriahkan suasana malam di ibu negeri Kelantan tetapi telah ia ditangguhkan.
Gara-gara itu, penganjur Ohaifa Resources Sdn. Bhd. terpaksa memulangkan semula deposit kepada kira-kira 300 peniaga ekoran masalah yang timbul.
Pada perkembangan sama menurut Takiyuddin, antara punca penangguhan termasuk pertukaran lokasi dari Jalan Syed Kadir ke kawasan pasar malam di Jalan Pintu Pong.
Bagaimanapun, beliau yakin masalah birokrasi dan teknikal berhubung KB Uptown akan lesaikan dengan baik seterusnya menjadikan pasar tengah malam itu realiti di Kota Bharu tidak lama lagi
