Monday, June 2, 2008

Kelantan juga mahu JPP dimansuh

01-06-2008 09:21:41 PM

KOTA BAHARU: Kerajaan Kelantan menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membubarkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Sabah yang mungkin disusuli dengan pembubaran JPP Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Datuk Takiyuddin Hassan berkata, keputusan kerajaan pusat itu bertepatan dengan kuasa yang diberi kepada negerinegeri dalam melaksanakan setiap peruntukan yang disalurkannya.

"Dengan cara demikian pembangunan dapat dilaksanakan dengan licin dan cepat tidak sebagaimana sekarang," katanya kepada pemberita selepas menutup Pertandingan Beruk Memetik Kelapa di sini, hari ini.

Program sempena program Tahun Melawat Kelantan 2008 turut diadakan pelbagai program kebudayaan termasuk membuat alatan tradisional yang berasaskan pokok kelapa.

Menurutnya, Perdana Menteri mempunyai asas yang cukup untuk membubarkan JPP di Sabah sebagaimana yang dihasratkan oleh rakyat negeri itu.

"Kita harap perkara itu disusuli di Kelantan selepas ini memandangkan penubuhan JPP telah menyebabkan banyak pertindihan kuasa," kata Takiyuddin.

Tanpa menafikan adanya JPP Kelantan turut membangun negeri ini, beliau bagaimanapun berkata, berlaku kelewatan dalam menyalurkan peruntukan wajib kepada pihak berkuasa tempatan dan bahagian perumahan.

"Kalau kerajaan pusat salurkan terus, peruntukan per kapita kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), ia boleh diguna mengikut jadual," katanya. BERNAMA

No comments: